Sepasang kekasih ditahan di Seri Iskandar dekat sini hari ini kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi berkenaan ke dalam Sungai Perak, kata Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso.
Beliau berkata, wanita berusia 22 tahun ditahan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung bau kurang menyenangkan dari rumah suspek di Seri Iskandar, kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.
“Wanita itu mengaku melahirkan bayi perempuan ketika kandungan tujuh bulan dalam keadaan bernyawa dan kemudian meninggal dunia di dalam bilik tidurnya pada pukul 3 pagi Selasa lalu, tanpa pengetahuan keluarga yang tinggal serumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, wanita itu kemudian membungkus bayi itu dan menyimpannya dalam almari selama tiga hari sebelum diberikan kepada teman lelakinya lalu dibuang ke dalam Sungai Perak, berdekatan rumah pam Lembaga Air Perak, Teluk Kepayang, Bota dekat sini awal pagi semalam.
Barudin berkata, hasil soal siasat mendapati wanita yang tidak bekerja itu hamil hasil hubungan seks dengan teman lelakinya berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di Alor Gajah, Melaka.
“Polis kemudian menahan teman lelakinya di rumahnya juga di Seri Iskandar yang mengaku telah membuang mayat bayi berkenaan ke dalam sungai,” katanya.
Katanya, pihak polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan usaha mencari mayat bayi itu namun masih gagal ditemukan sehingga lewat petang semalam.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat bayi secara sulit.
Operasi mencari mayat bayi perempuan yang dibuang di Sungai Perak berhampiran rumah pam Lembaga Air Perak (LAP), Teluk Kepayang, Bota, diteruskan hari ini. Namun sehingga kini pasukan bomba tidak dapat menyelam di sungai berkenaan berikutan air deras kerana lokasinya berhampiran dengan rumah pam.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/37u2A8W
via IFTTT