Fatimah Mohamed, 33, tidak dapat menahan air matanya sebaik melihat anaknya, Siti Nur Aini Zulimi, berusia 10 bulan meninggal dunia dengan kesan terbakar di dalam buaiannya dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Kampung Bangkahulu, Gemas, Tampin.
Menurut Fatimah, dia sebelum itu bersama dengan anak lelakinya berusia dua tahun keluar pada jam 11 pagi Rabu kerana mempunyai urusan di Pejabat Pos Gemas.
Sebelum keluar, Fatimah sempat berpesan kepada kepada jirannya, Noor Azila Halim, 28, untuk menjenguk anaknya yang sedang tidur di dalam buaian elektrik di ruang tamu rumah.
25 minit kemudian, Fatimah dan anaknya pulang dan ternampak asap tebal menyelubungi ruang tamu rumahnya dan terus memikirkan nasib anaknya dan berharap Siti Nur Aini selamat.
"Saya segera menghubungi bomba, manakala jiran dan penduduk setempat turut membantu memadamkan kebakaran di ruang tamu," katanya.
Namun, hancur luluh hatinya apabila menemui mayat Siti Nur Aini yang masih berada dalam buaian dengan kedua-dua tangannya ke atas seperti meminta diselamatkan.
"Saya tidak dapat menahan air mata sebaik melihat bayi meninggal dunia dengan kesan terbakar di dalam buaian.
"Kesan kebakaran di ruang tamu itu turut merosakkan sofa, almari dan televisyen selain pakaian persekolahan anak lain di bilik tidur utama kesan bahang api," katanya yang juga tidak menyalahkan sesiapa dan reda menerima ketentuan Ilahi.
Difahamkan, Siti Nur Aini merupakan anak bongsu daripada enam beradik, empat lelaki dan dua perempuan berusia antara 10 bulan hingga 12 tahun.
Sementara itu, Noor Azila mengakui Fatimah ada berpesan kepadanya tetapi tidak dimaklumkan bila dia mahu keluar dari rumah.
"Saya tidak perasan dan menyangka Fatimah masih berada di rumah kerana tidak menyedari bunyi enjin motosikal yang digunakannya untuk pergi ke bandar Gemas.
"Sudah menjadi kebiasaan saya akan menjaga anaknya jika Fatimah ada urusan," katanya.
Sumber: Harian Metro
LAPORAN BERKAITAN
from The Reporter https://ift.tt/2V6fSW0
via IFTTT