Kerajaan mungkin akan guna khidmat ATM sekiranya rakyat masih ingkar arahan perintah kawalan pergerakan


Semenjak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat perutusan khasnya beberapa hari lalu, masih ramai rakyat di negara ini yang tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mungkin akan digunakan sekiranya rakyat masih ingkar, bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal. 

Tambah beliau, sukar bagi kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan di kawasan kampung kerana kekurangan pemantauan daripada pihak berkuasa. 

"Jika pematuhan masih di peringkat 60 peratus, kerajaan mungkin akan gunakan khidmat anggota tentera untuk melakukan kawalan khususnya di kawasan luar bandar. 

"Namun, saya yakin kita tidak perlu sampai ke tahap itu kerana rakyat perlu sedar kepentingan untuk mereka terus berada di rumah sehingga wabak ini dapat dikawal," katanya yang juga yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melaksanakan tugas mereka. 

Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020 bagai memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19. Hanya pekerja yang berkepentingan sahaja dibenarkan meneruskan rutin mereka. 

Sementara itu, premis yang menjual barangan keperluan seperti pasar raya, kedai runcit dan yang sewaktu dengannya juga dibenarkan beroperasi. 

Sejak bermulanya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, polis telah membuat 540 sekatan jalan raya dan sebanyak 6,135 kenderaan telah diperiksa pada hari pertama operasi. 

"Pada hari pertama hingga ketiga, polis akan menasihati pengguna jalan raya yang melalui sekatan untuk duduk di rumah. 

"Selepas itu, tindakan akan diambil sekiranya orang awam tidak mematuhi arahan tersebut," kata Ismail. 



from The Reporter https://ift.tt/2xLyEYY
via IFTTT