'Oo, 3 tahun kau makan luar yer bang?!' - Lelaki pukul skandal guna lesung batu kerana tak sediakan makanan
Dikatakan gara-gara tertekan dengan teman wanita yang suka membebel dan membebankan, seorang pemandu lori ditahan kerana memukul teman wanitanya menggunakan lesung batu dan besi buaian sehingga mengalami kecederaan di Taman Kimsar, Perai di Butterworth hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Mohd Mustafa Bidin berkata polis menerima panggilan pada pukul 9.14 pagi daripada jiran pasangan itu memaklumkan terdapat pergaduhan di rumah teres setingkat didiami pemandu lori berumur 47 tahun dan wanita berusia 44 tahun berkenaan.
"Semasa polis sampai di lokasi terdapat beberapa tompokan darah di atas lantai dalam rumah, kawasan tempat letak kereta dan depan rumah. Pasukan forensik turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan berpandukan maklumat daripada lelaki itu, polis merampas lesung batu serta besi buaian kanak-kanak yang digunakan sebagai senjata untuk memukul teman wanitanya.
"Wanita itu cedera pada beberapa bahagian badan dan kepala sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan. Doktor pakar yang merawatnya mendapati tiada kecederaan serius dialami mangsa kecuali cedera luka sedalam dua sentimeter di kepalanya," katanya di Butterwoth hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca disebabkan suspek mengalami tekanan kerana perlu menanggung segala perbelanjaan di dalam rumah termasuk tiga anak teman wanitanya berserta dua cucu.
Mohd Mustafa berkata pasangan itu tinggal bersama sejak tiga tahun lepas dan tidak pernah berkahwin, bagaimanapun pemandu lori itu telah berkahwin dan mempunyai dua anak yang menetap di Bedong, Kedah malah isterinya tidak mengetahui suaminya mempunyai teman wanita.
"Menurut suspek, pada awal perkenalan rumah itu didiami mereka berdua, namun teman wanitanya telah membawa anak kandungnya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan bersama dua cucu untuk tinggal bersama. Ia berlarutan selama lebih kurang dua tahun menyebabkan suspek terpaksa tanggung segala perbelanjaan rumah.
"Suspek dan teman wanitanya itu kerap bergaduh dan kejadian pagi tadi adalah paling teruk kerana suspek yang baru balik bekerja kira-kira pukul 1 pagi mendapati mangsa tidak menyediakan makanan dan sebaik bangun tidur dia bertanyakan kepada mangsa, namun wanita berkenaan marah-marah serta membebel sebelum lelaki itu naik angin dan memukulnya," katanya.
Beliau berkata lelaki itu yang turut mengalami luka pada tangan kiri akibat terkena cermin tingkap yang dipecahkannya turut menerima rawatan di HSJ dan dia kini direman untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/38EoZA5
via IFTTT