'Untuk tidak burukkan lagi keadaan, kami minta maaf' - Black, Tomok, Shuib & Achey mohon maaf, enggan panjangkan isu artis minta bantuan
Tomok, 35, tidak mahu memburukkan lagi keadaan dan mengambil keputusan untuk memohon maaf di atas kenyataannya tempoh hari.
"Untuk tidak menjadikan keadaan semakin buruk, saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia. Maaf sekiranya statement saya di Instagram tempoh hari ada menyakiti hati kalian.
"Saya juga manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Maafkan saya semua. Marilah kita sama-sama doakan semoga negara kita dan dunia bebas daripada Covid-19," katanya melalui Instagram.
Black, 32, menjelaskan, niat dia mengeluarkan kenyataan tersebut sebelum ini adalah hanya mahu membantu golongan artis yang memerlukan bantuan, tetapi mungkin disebabkan caranya yang tidak betul membuatkan ramai pihak yang berasa kurang senang.
"..niat saya untuk membantu, tetapi mungkin cara penyampaian saya itu salah. Dan ada komen-komen saya juga yang mungkin membuatkan orang lain marah.
"Saya ingin memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan saya. Saya pun manusia biasa, saya juga melakukan kesilapan. Saya berharap sangat netizen di luar sana dapatlah menghentikan komen-komen yang tidak baik ke atas saya dan keluarga saya," katanya.
Sementara itu, Shuib, 35, pula berharap dengan permohonan maaf yang dibuatnya dapat menyelesaikan isu yang berbangkit.
"Saya mengambil apa yang berlaku berhubung kenyataan saya tempoh hari sebagai kesilapan sendiri. Saya mohon ampun dan maaf dan harap isu ini selesai.
"Saya terima apa juga kata-kata anda. Satu yang pasti, saya selalu kenang jasa anda semua yang menyokong saya. Sama-sama kita berdoa agar negara kita lekas bebas dari Covid-19," katanya.
Achey, 33, berharap isu tersebut tidak dipanjangkan lagi kerana ada perkara yang lebih penting untuk diberikan perhatian.
"Untuk membuatkan keadaan lebih tenang lepas ni, apa saja yang salah buat, salah laku, salah cakap ke pasal bantuan artis tu, saya ingin memohon maaf di sini atas segala apa yang berlaku, atas kekhilafan saya. Saya juga manusia biasa.
"Saya harap benda ini tidak berpanjangan, sebab ada benda yang kita perlu fokus lagi dekat luar sana," kata Achey yang kemudian turut didengari suara di belakang yang mengatakan, "Haaa padan muka kau!"
from The Reporter https://ift.tt/3dKLKXc
via IFTTT