Polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pegawainya yang dilihat secara agresif menyebat enam remaja lelaki kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu kejadian di Kunak, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, jika dilihat dari sudut penguatkuasaan, tindakan pegawai itu memang tidak wajar, namun dari segi moral, itu adalah umpama seorang yang lebih tua memberi pengajaran kepada orang muda yang ingkar arahan.
“Sebelum kejadian itu pegawai berkenaan telah menegur kumpulan remaja itu sebanyak dua kali tetapi mereka tetap tidak bersurai malah mentertawakan teguran berkenaan sambil menghisap rokok.
Kejadian itu berlaku di Kampung Pangi Tengah, Kunak ketika pasukan polis sedang membantu menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung sebelum terserempak dengan kumpulan remaja yang sedang berkumpul,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata selepas selesai mengagihkan bantuan berkenaan, pihak polis terserempak lagi dengan kumpulan remaja berkenaan yang masih tidak mendengar teguran, menyebabkan pegawai berkenaan bertindak menyebat semua remaja berkenaan.
Zaini berkata demikian ketika mengulas sebuah klip video yang tular memaparkan seorang pegawai polis bertindak menyebat enam remaja berkenaan menggunakan ranting kayu kerana ingkar arahan untuk balik ke rumah masing-masing.
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi di media sosial terutama golongan netizen yang memuji langkah pihak berkuasa yang tegas dalam melaksanakan tugas memastikan rakyat mematuhi PKP.
Bagaimanapun, ada juga segelintir pengguna alam maya yang mempersoalkan tindakan memukul itu kerana dikatakan boleh mendatangkan kecederaan kepada remaja terbabit.
Mengulas lanjut, Zaini berkata tindakan di peringkat jabatan akan diambil ke atas pegawai berkenaan, manakala kumpulan remaja itu sebenarnya bernasib baik kerana mereka tidak ditangkap sebaliknya polis hanya memberi pengajaran moral kepada mereka.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/2xMhbzw
via IFTTT