'Jam 12 ke atas, terdengar bunyi budak perempuan menangis, laci di ruang tamu ditarik tutup berulang kali...'
Sekadar perkongsian untuk bacaan suka-suka. Bagi mereka yang lemah semangat dan mudah terbayangkan perkara yang tidak sepatutnya, anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan bacaan. Risiko tanggung sendiri. Gambar-gambar yang digunakan juga hanyalah sekadar hiasan sahaja. Selamat membaca.
RASA teruja apabila dapat merantau ke tempat orang. Dalam masa yang sama, pasti terbit rasa rindu terkenang keluarga jauh di mata.
Suami baru dapat kerja di Pahang. Perjalanan yang jauh dan memenatkan. Setibanya di rumah itu, angin kuat menampar pipi seperti memberi petanda. Pintu rumah berulang kali tertutup dan terbuka dengan sendiri dek tiupan angin kuat.
"Mungkin nak hujan," bisik hati untuk menenangkan diri.
Hari pertama dan kedua berlalu seperti biasa. Tetapi di hati kecil ini selalu tidak salah mentafsir rasa. Semenjak berpindah ke rumah ini, rasa seram sejuk itu selalu ada. Meskipun rumah dicat dengan warna merah jambu, ia tetap nampak suram dan muram, seperti menyimpan suatu rahsia.
KISAH MISTIK BERMULA
Pada masa itu, anak saya masih kecil, b erusia setahun lebih. Saya surirumah sepenuh masa. Jadi, memang banyak meluangkan masa dengan anak.
Semasa melihat anak bermain, tiba-tiba tangan dia diangkat, seperti dipimpin oleh 'sesuatu' yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Setiap kali dia bermain dengan mainannya, tingkahnya seperti ada 'seseorang' yang sedang melayani dan bergurau serta bercakap dengannya. Hakikatnya, hanya kami berdua sahaja di rumah itu. Suami pula keluar bekerja.
Ketika saya sedang sibuk memasak di dapur, kedengaran jelas derapan kaki berjalan di belakang. Dari ekor mata, jelas kelihatan kelibat anak kecil melintas. Namun, apabila saya menoleh ke belakang,
"Eh? Tak ada sesiapa pun?"
Padahal jelas nampak ada anak kecil dalam lingkungan 2-3 tahun berada di belakang saya. Apa lagi, saya terus melangkah ke depan mencari anak. Alhamdulillah, anak elok saja di depan.
Firasat cuba memberitahu sesuatu, tetapi hati masih kuat menepis segara rasa agar ketakutan itu hilang. Hanya kami tiga beranak duduk di rumah itu. Bila suami keluar bekerja, maka tinggallah saya bersama si kecil. Hati saya perasan, seperti ada yang selalu memerhatikan gerak-geri saya di rumah.
Anehnya, pintu bilik sentiasa kedengaran seperti diketuk dari dalam bilik. Di rumah itu, ada tiga buah bilik. Bilik belakang dijadikan stor, bilik kedua dijadikan bilik solat dan khas untuk tetamu yang datang bermalam. Kami tidur di bilik utama.
Menjelang malam, kami tutup semua lampu. Jam 12 malam ke atas, saya mula mendengar 2-3 suara perempuan berbual di ruang tamu. Saya jenis yang sukar tidur. Suami sudah lena, begitu juga dengan anak. Hendak kejutkan suami, rasa serba salah sebab suami penat.
Maka dengarlah bunyi suara budak perempuan menangis, laci di ruang tamu ditarik dan ditutup berulang kali. Seperti ada orang lain yang tinggal di rumah ini.
Keadaan ini berlarutan lama sehinggalah satu hari suami cuti. Dia juga perasan dan mengalami kejadian menyeramkan ini. Akhirnya kami nekad bertanya mengenai rumah ini dengan jiran yang sudah lama menetap di situ. Apakah penyewa sebelum ini pernah mengadu kepada mereka mengenai kejadian seram yang kami alami ini.
TERUNGKAP SEGALA-GALANYA
Menurut jiran, rumah yang kami diami itu pernah didiami oleh seorang peniaga. Perniagaannya terlalu maju sehingga ada yang menyimpan rasa iri hati dan mula menghantar sihir ke rumah tersebut. Di situ dulu ada seorang pakcik dan makcik menyewa. Azabnya sehingga pakcik itu menghembuskan nafas terakhirnya di situ sebelum jenazahnya dibawa pulang ke kampung di Selangor.
Semasa pakcik itu nazak, dia ada ternampak benda besar hitam berbulu, bertaring panjang dan matanya merah duduk di sampingnya. Hal itu kemudian diadukan kepada isterinya. Yang mengejutkan, si isteri juga boleh melihat 'benda' itu duduk di sebelah suaminya. Allahu.
Masa makcik itu balik ke Selangor untuk menguruskan jenazah suaminya, 'benda' itu turut mengikutinya. Semasa dia hendak mengemas barang untuk berpindah keluar, makcik itu siap berpesan,
"Kau duduk sini sampai bila-bila. Jangan ikut aku balik, aku tak nak kau."
Ada juga jiran kata, arwah ini pandai mengubat orang atau 'bomoh'. Wallahua'lam yang mana satu, sama ada belaan sendiri ataupun benar ada yang menghantar sihir.
Selepas makcik itu berpindah, setiap kali jiran pulang dari kerja mesti perasan ada plastik gula-gula bersepah di depan rumah ini. Bukan sedikit, tetapi banyak. Seperti ada anak kecil yang duduk di rumah itu. Tetapi rumah itu sudah bertahun-tahun kosong selepas makcik itu pindah.
Setiap malam dalam jam 2-3 pagi, jiran terdengar bunyi orang membasuh pinggan, menyapu lantai di dalam rumah itu. Adakalanya terdengar suara kanak-kanak bermain dan bunyinya kuat. Selain itu, kedengaran juga bunyi barang-barang dialihkan, kotak diseret bagai.
Pernah sekali jiran nekad mengintai rumah itu untuk mengetahui punca bunyi tersebut kerana menyangka ada pencuri. Sedang khusyuk mengintai, tiada sebarang kelibat yang mencurigakan. Hanya kegelapan dan tiba-tiba, "HARGHHHH!" suara yang kuat dan garau menyergahnya.
Alangkah terkejutnya dia apabila ternampak muka perempuan putih pucat, mata merah menyergahnya dari dalam rumah itu. Apa lagi, sepantas kilat dia berlari masuk ke rumah.
Pernah ada orang yang cuba menyewa di rumah itu, namun tidak dapat bertahan lama. Selepas sebulan, rumah itu kosong semula.
Setiap kali saya buat bacaan Yassin, mesti timbul banyak gangguan. Bila TV dipasang, secara tiba-tiba ia boleh terpadam sendiri. Adakalnya kedengaran bunyi orang mengetuk dari dalam bilik. Padahal hanya saya berdua dengan anak sahaja di rumah.
Akhirnya kami membuat keputusan untuk memagar rumah itu dengan bantuan seorang ustazah, anak buah kepada arwah Haron Din.
Percubaan pertama menemui kegagalan. Malamnya, bermacam-macam bunyi yang ada. Dengar macam bunyi nak kata anjing, bukan. Tetapi bunyi seperti sesuatu yang sedang mengerang kesakitan. Kuat bunyinya. Bukan sekali, tetapi berkali-kali dalam satu malam itu. Sampai saya kejutkan suami jam 3 pagi sebab ketakutan.
Tidak lama selepas itu, terdengar pula bunyi tapak kaki berjalan di atas siling rumah. Bunyinya seperti kaki dirantai dengan gari besi, kemudian berjalan secara menyeret. Memang jelas bunyinya.
"Nak jalan, jalanlah, jangan kau jatuh kat dalam bilik ini sergah kami anak beranak sudah," kata saya dalam hati.
Hati ini Tuhan saja yang tahu. Memang tidak nyenyak nak tidur malam itu. Habis satu rumah dibuka lampu. Kalau lintasan laju warna hitam itu memang selalu kelihatan. Laju sangat, nak kata bayang bukan, nak kata asap pun bukan. Memang seriau selama duduk di rumah itu.
Lama juga kami bertahan di rumah itu, hampir dua tahun. Tetapi selepas kami usahakan buat bacaan Yassin dan kerap melaungkan azan dalam rumah, Alhamdulillah gangguan pun berkurangan. Boleh dikatakan gangguan itu hilang secara total dengan sendirinya. Hati tidak lagi terasa seram sejuk di rumah sendiri.
Selain perkara mistik ini, ada banyak juga kejadian seperti binatang berbisa masuk ke rumah. Alhamdulillah tidak pernah menyakiti kami.
Walau apa pun yang menimpa kami sekeluarga sewaktu tinggal di rumah sewa itu, hati ini tetap bersyukur kerana ada tempat berteduh dari hujan basah dan terik matahari. Akan dijadikan sebagai pengalaman hidup.
Sumber: Fatin Adila Razali
from The Reporter https://ift.tt/2JviEgv
via IFTTT