Semalam media melaporkan petugas yang terdiri daripada polis, tentera, anggota APM, DBKL dan RELA berdepan dengan masalah dibaling dengan objek termasuk plastik berisi air kencing oleh penghuni di tiga lokasi kediaman yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Media tempatan itu yang memetik dari sumbernya melaporkan perbuatan itu dilakukan oleh penghuni yang dipercayai warga asing kerana tidak berpuas hati terhadap perintah berkenaan dan kemungkinan kerana masalah mendapatkan bekalan makanan.
Bagaimanapun, laporan itu dinafikan oleh Penglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang. Malah menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian kepada anggotanya.
"Tidak ada perkara sedemikian (anggota tentera memakai helmet (topi keledar) elak air kencing warga asing ketika bertugas).
"Pihak ATM hanya memakai helmet untuk tempat yang diisytiharkan sebagai kawasan PKPD, manakala di tempat lain adalah seperti biasa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis berhubung perbuatan segelintir penghuni Selangor Mansion membaling objek seperti botol, bungkusan sampah serta pasu bunga terhadap anggota tentera yang bertugas memasang concertina wire di kawasan itu.
Laporan itu dibuat selepas anggotanya memaklumkan mengenai kejadian itu. Tetapi tiada laporan diterima mengenai anggota tentera dibaling dengan air kencing oleh warga asing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana cuba mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam.
Tiga bangunan yang dikenakan PKPD adalah Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah, bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansior di Jalan Masjid India.
Pada Khamis lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementeriannya akan membekalkan makanan tengah hari dan makan malam sepanjang 14 hari PKPD kepada 1,850 penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India.
Sumber: Bernama, MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/34sIVpb
via IFTTT