2 beradik dibunuh bapa tiri kerana sakit hati mangsa minta dibelikan aiskrim


Dua kanak-kanak masing-masing berusia 10 dan 5 tahun ditemui mati di kawasan sekolah di Medan, Sumatera Utara, Indonesia, pada Jumaat, 19 Jun 2020. 

Menurut laporan dari portal berita tvOneNews, suspek pembunuhan dua kanak-kanak itu adalah bapa tiri mereka. 

Ketua Polis Medan, Komisioner Riko Sunarko berkata, suspek pembunuhan dua kanak-kanak itu adalah bapa tiri yang bermotifkan sakit hati.

Pada petang hari kejadian, dua beradik itu baru pulang dari rumah neneknya yang terletak berhampiran. Di sebelah malam, mereka menonton televisyen bersama dengan suspek sebelum salah seorang tampil meminta suspek membelikan aiskrim untuk mereka. 

Bagaimanapun, suspek memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai wang. Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, mangsa menyindir suspek kedekut dan meminta ibunya mencari ayah baru. 

Kata-kata itu membuatkan suspek terasa sakit hati dan bertindak membunuh mangsa dan juga anak kandungnya sendiri sebelum memaklumkan kepada isteri melalui Facebook yang dia telah menghabiskan dua nyawa kanak-kanak itu serta mayat mereka dibuang di kawasan sekolah. 

Sementara itu, bapa kandung mangsa, Muhammad Arif, 32, mengakui dia begitu marah apabila mendengar kejadian yang menimpa anaknya yang merupakan salah seorang mangsa dalam kejadian itu. 

Difahamkan, Arif berkahwin dengan ibu mangsa dan kemudian bercerai sebelum ibu mangsa berkahwin lagi dengan suspek dan memiliki anak kedua.

"Saya sangat kesal. Teringin sangat melihat wajah suspek acam mana. Kenapa dia tergamak sungguh buat begitu, hanya kerana aiskrim saja," katanya yang juga berharap suspek dijatuhkan hukuman berat. 

Sumber: Tribun Wow


from The Reporter https://ift.tt/2Z4fAiA
via IFTTT