Isteri enggan lakukan hubungan intim, suami pukul bayi sampai mati

Seorang bayi berusia 40 hari di Way Kanan, Indonesia, maut dianiaya oleh bapa kandungnya sendiri dalam kejadian yang berlaku pada malam Ahad lalu (9/8/2020).

Suspek yang hanya dikenali sebagai KW, berusia 20 tahun, tergamak menganiaya isterinya sendiri kerana isterinya, ES, 20, enggan melayani permintaannya untuk melakukan hubungan intim. 

Ketua Polis Daerah Way Kanan, Binsar Manurung berkata, kejadian itu berlaku ketika suspek ditegur isterinya kerana mencium bayinya sambil merokok. 

ES kemudian pergi ke dapur untuk menyiang ikan sebelum terdengar suara tangisan anaknya, lalu bergegas mendapatkannya dan terkejut melihat KW sedang mencekik mangsa. 

ES terus mengambil mangsa dari tangan KW dan memarahinya. Kemudian, KW secara tiba-tiba mengajak ES untuk melakukan hubungan intim tetapi permintaannya itu ditolak. 

ES tidak dapat memenuhi keinginan suaminya kerana dia masih belum habis berpantang. 

Berang permintaannya ditolak, KW terus marah sehingga tercetusnya pertengkaran di antara mereka. 

"Suspek gagal mengawal kemarahan lalu melakukan kekerasan fizikal terhadap mangsa yang ketika itu didukung oleh isterinya," kata Binsar. 

ES cuba melindungi anaknya dari amukan KW dengan cara membelakanginya. Tetapi KW terus berusaha memukul mangsa sehingga terkena di bahagian kepala bayi. 

ES melarikan diri dari rumah sambil menjerit meminta tolong. Namun KW sempat menarik kaki mangsa dan terus memukulnya tanpa belas kasihan. 

ES terpaksa meletakkan mangsa di lantai dan menolak suaminya jauh dari mangsa. Tidak beberapa lama selepas itu, mangsa berhenti menangis dan mukanya menjadi pucat sebelum menghembuskan nafas terakhir. 

Mayat bayi telah dihantar ke Hospital Blambangan Umpu untuk dibedah siasat. 

Sementara itu, suspek bakal dikenakan tindakan undang-undang dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara 15 tahun penjara.

Sumber: Sosok



from The Reporter https://ift.tt/30SDxLV
via IFTTT