'Saya ingat dia pergi ke rumah rakan' - Suami buntu, isterinya hilang sejak 9 Ogos


Seorang wanita berusia 30 tahun dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya sejak 9 Ogos lalu. 

Datin Eevon Ang, keluar dari kediamannya di Bandar Botanik, Klang, dengan memandu kereta Peugeot berwarna putih tanpa memaklumkan ke mana destinasinya. 

Suaminya, Datuk Patrick Yee berkata, dia pulang ke rumah pada hari kejadian dan dimaklumkan isterinya telah keluar dan menyangka Eevon keluar ke rumah rakannya. 

Namun begitu, sehingga ke tengah malam, Eevon masih belum pulang ke rumah. Patrick cuba menghubunginya tetapi gagal kerana telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi. 

Menurut Patrick, Eevon jarang keluar rumah dan hanya bersiar-siar di kawasan berhampiran seperti di Bandar Botanik dan Bukit Tinggi untuk menghantar anak atau berjumpa dengan rakan. 

Bimbang dengan kehilangan isterinya, Patrick membuat laporan polis pada 13 Ogos lalu. 

"Semua rakan memaklumkan isteri saya tiada menghubungi mereka. Malah, saya sudah mencarinya hingga ke sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, namun masih gagal mengesannya. 

"Hubungan kami baik dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan atau masalah sebelum hilang. Anak-anak juga sudah merinduinya dan bertanyakan di mana ibu mereka setiap hari. 

"Saya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi isteri dapat menghubungi saya di talian 017-3516055," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Datin Eevon. 

Dalam laporan China Press, ada netizen yang memuat naik gambar kereta Peugeot berwarna putih tiga hari lalu yang mengatakan kereta tersebut berada di Batu Ninan, Bukit Tinggi, Klang yang ditinggalkan kira-kira seminggu lalu.

Patrick juga telah dimaklumkan mengenai penemuan kereta itu dan dia telah menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.



Sumber: Harian Metro, China Press

from The Reporter https://ift.tt/3aL3Rv0
via IFTTT