2 kali gagal hadiri prosiding, mahkamah keluarkan waran tangkap untuk Mohd Saifuddin Ilias


Kegagalan menghadiri dua prosiding yang dijalankan sebelum ini membuatkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Saifuddin Ilias atau Safiey Ilias, 26. 

Difahamkan, usahawan kosmetik itu perlu hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin bagi mendengar keputusan kes yang membabitkan kesalahan di bawah Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara. 

Mohd Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut dan menjelaskan dia tidak tahu akan ada perbicaraan mengenai kes itu. 

"Saya tak nak komen apa-apa dulu sebab sudah sudah menjadi kes mahkamah. Saya akan beritahu kelak sehingga kes ini selesai Isnin ini. 

"Saya sendiri tidak tahu akan perbicaraan kes ini sebab semasa writ saman dihantar, saya juga tak pasti sama ada ia dihantar ke pejabat atau rumah. Kalau pejabat, ia sudah lama tutup. Kalau di rumah, saya pula berada di kampung sejak Ogos lalu akibat masalah depresi dan bipolar. 

"Kalau saya tahu akan kes ini, pasti saya beri kerjasama speenuhnya kerana tidak pernah lagi gagal hadir mana-mana kes lain di mahkamah sebelum ini," katanya yang turut meminta orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi. 

Ditanya mengenai dakwaan produk tidak mengikut garisan panduan KKM, Mohd Saifuddin menjelaskan produk itu bukan untuk dipasarkan. Sebaliknya dia hanya ingin memberi tester kepada peminatnya. 

"Kilang beri contoh produk. Saya cuma ingin berikan 'tester' kepada peminat saya. Ia belum untuk dijual dan tidak langsung saya promosikan di laman sosial saya. 

"Jika berkesan, baru saya akan jual dan ikut prosedur pendaftaran bagi tujuan kelulusan produk sebelum dijual," katanya. 

Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3hGWjLq
via IFTTT