Seorang suri rumah didenda RM10,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memukul bayi asuhannya berusia empat bulan, sehingga mengakibatkan kesan lebam di muka dan punggung mangsa.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurul Aslamiah Kamarudin, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhannya.
Mengikut pertuduhan, Nurul Aslamiah sebagai seorang pengasuh kepada bayi perempuan itu didakwa secara cuai menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dengan memukulnya sehingga lebam di muka dan paha kiri serta lebam dan luka di punggung sebelah kiri.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Presint 14, Putrajaya pada 5.40 petang, 18 Sept 2019 mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Nurul Aslamiah yang tidak diwakili peguam dalam nada sebak merayu hukuman denda minimum.
“Saya datang dari Terengganu, Yang Arif. Sekarang saya suri rumah sepenuh masa dan mempunyai seorang anak berusia lapan tahun manakala suami bekerja sebagai pembantu am,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh telah menyebabkan bayi yang tidak berdosa itu mengalami kecederaan.
“Sebagai seorang pengasuh, tertuduh sewajarnya memberi sepenuh perhatian dan penjagaan kepada mangsa apatah lagi tertuduh telah diberi kepercayaan oleh keluarga mangsa untuk menjaganya.
“Kekerapan jenayah penderaan dan kecuaian kanak-kanak juga harus dipertimbangkan mahkamah, jadi saya mohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada penjaga dan pengasuh di luar sana agar lebih berhati-hati apabila mengasuh kanak-kanak,” kata Nurliyana.
Mengikut fakta kes, pengadu yang juga ibu kepada bayi tersebut telah menyedari terdapat beberapa kesan lebam di beberapa bahagian badan anaknya selepas mengambil bayi itu yang ditinggalkan di rumah tertuduh.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya dan disahkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan disyaki dilakukan oleh tertuduh yang hampir sebulan mengasuh bayi itu.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/32WJUyQ
via IFTTT