Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berpandangan adalah tidak munasabah pekerja yang perlu bekerja dari rumah (BDR) dibayar dengan gaji dan elaun penuh, susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan pekerja sektor awam dan swasta di zon PKPB tidak berada di tempat kerja.
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsudin Bardan berkata, produktiviti kakitangan BDR pasti akan terjejas dan masih banyak syarikat yang berdepan dengan masalah aliran wang tunai berikutan wabak Covid-19.
"Untuk mengarahkan majikan membayar gaji dan elaun penuh adalah tidak munasabah dan tidak mengikut konsep 'ada kerja ada gaji, tiada kerja tiada gaji'.
"Kita (majikan) memang tak paksa pekerja ambil cuti tahunan tetapi kalau pekerja enggan ambil cuti tahun dan mengharapkan gaji penuh dibayar di saat mereka duduk di rumah dan tiada kerja untuk dilakukan, apa asas untuk arahan seumpama ini diberikan?" katanya.
Shamsudin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan yang memberi peringatan kepada majikan untuk tidak memaksa dan mengarahkan kakitangan menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji selepas MKN mengeluarkan arahan BDR semasa PKPB.
Saravanan juga menegaskan, majikan tetap perlu membayar gaji kakitangannya seperti biasa.
Namun Shamsuddin menjelaskan, bukan semua jenis pekerjaan yang boleh dilakukan di rumah. Menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji bukanlah satu paksaan tetapi ia perlu difahami bahawa ia adalah satu alternatif ketika syarikat berdepan dengan risiko pekerja tidak dibayar gaji apabila produktiviti berkurang atau tiada kerja untuk dilakukan.
"Kalau mereka tidak mahu mengambil cuti tahunan, jadi kita terpaksa beri mereka tak ada gaji," katanya.
Selasa lalu, Menteri Kanan Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kakitangan di peringkat pengurusan dan pengawasan dalam sektor awam dan swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah diarahkan bekerja dari rumah berkuatkuasa 20 Oktober 2020 hingga 27 Oktober 2020, bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19 di kalangan pekerja.
Ini berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesan 9 kluster yang menular di pejabat.
Sumber: MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/3olzEZC
via IFTTT