Malang nasib seorang lelaki yang berasal dari Nusa Tenggara Timur, Indonesia. Hanya kerana hubungannya tidak direstui oleh pihak keluarga teman wanita, lelaki berusia 23 tahun itu dihukum gantung dengan posisi kepala di bawah dan kaki di atas.
Video kejadian yang dirakam pada 20 Oktober 2020 itu menunjukkan, Mario Mardi Natriti dihukum dengan kejam sambil disaksikan sekumpulan penduduk tempatan termasuk beberapa individu yang memakai seragam anggota Tentera Nasional Indonesia.
Difahamkan, Mario dan teman wanitanya dipercayai mahu kahwin lari kerana hubungan mereka tidak direstui oleh keluarga teman wanita.
Ibu mangsa kesal anaknya diperlakukan seperti binatang dan menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian itu kerana mengesyaki anaknya telah dianiaya oleh pihak yang menyalahgunakan kuasanya.
"Anak saya diperlakukan seperti binatang. Anak saya bukan penjenayah sehingga perlu digantung dan diseksa sedemikian serta dijadikan bahan tontonan orang ramai. Saya mohon kepada semua pihak tampil membantu anak saya yang masih terbaring di hospital ketika ini, menegakkan keadilan untuknya," katanya.
Selepas video tersebut viral di media sosial, Mario tampil menceritakan apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian. Mario dan teman wanitanya, Delsiana Bebe dijemput oleh dua saudaranya yang merupakan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD - Pemimpin Politik) di rumah. Di dalam kereta yang dinaiki itu juga terdapat dua anggota tentera yang tidak dikenali.
Setelah menghantar Delsiana pulang ke rumah keluarganya, Mario dibawa oleh dua anggota tentera terbabit ke suatu lokasi yang tidak diketahui dan disitu dia telah dianiaya dan diseksa sehingga tidak sedarkan diri. Mario mendakwa, dua anggota terbabit dipercayai menerima arahan untuk memperlakukannya sedemikian dari seseorang yang bernama Stefanus.
Selepas itu, Mario dibawa pulang ke rumah Delsiana dan di situ dia sekali lagi dimaki dan dibelasah. Pakaian, dompet dan wang tunai miliknya sebanyak Rp100,000 (RM28) dirampas oleh keluarga terbabit.
"Saya dibelasah sampai tidak sedarkan diri. Di rumah itu semua ahli keluarganya (Delsiana) ada termasuk dua anggota DPRD serta ketua kampung," katanya.
Keluarga mangsa bertindak membuat laporan polis dan menyatakan anak mereka telah dianiaya oleh keluarga teman wanitanya pada 20 Oktober 2020 antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang di beberapa lokasi berasingan.
Sumber: Agensi
from The Reporter https://ift.tt/2Txpya3
via IFTTT