Ibu mengaku cekik bayinya sampai mati sebab takut suaminya tidak mahukan anak itu


Seorang ibu muda dilaporkan mengaku mencekik bayinya sendiri sebelum menjadikan tempat kejadian seperti berlaku rompakan (palsu). 


Wanita berusia 20 tahun itu dikatakan telah membunuh bayinya berusia dua bulan bernama Bryan Henrique Sousa Veronez kerana dia menyangka suaminya tidak mahukan anak itu. 


Mayat mangsa ditemui di rumahnya di sebuah kawasan luar bandar Ecoporanga, Brazil, pada Ahad, 13 Disember 2020. 


Bapa mangsa memberitahu polis, dia keluar dari rumah pada awal pagi untuk memerah susu lembu dan apabila kembali ke rumah, dia mendapati tangan dan kaki isterinya diikat, manakala anaknya pula sudah tidak bernyawa. 


Selain itu, dia juga memberitahu polis, 'perompak' telah meninggalkan nota yang mengancam mereka sekeluarga, yang ditemui diselit di bawah pintu utama rumah. 


Pasangan itu kemudian dibawa ke balai di mana si ibu memberitahu terdapat dua suspek masuk ke rumah melalui tingkap dan mencekik bayinya sebelum mengikat dan menutup matanya.


Bagaimanapun, keterangan wanita itu mencurigakan berikutan polis tidak menemui kesan dan bukti rumah itu dipecah masuk mahupun harta benda pecah, sebelum wanita berkenaan mengaku dia telah membunuh anaknya sendiri. 


Menurut suspek, dia mengalami kemurungan dan membunuh anaknya sendiri kerana takut suaminya tidak mahukan anak itu. Polis percaya suspek telah merancang jenayah tersebut dan membuat surat ancaman palsu yang diposkan ke rumah mereka. 


Seminggu sebelum kejadian, bapa mangsa membuat laporan polis kerana ada seseorang yang memasukkan racun dalam botol susu bayinya dan kini pegawai polis percaya perbuatan itu dilakukan oleh suspek. 


Suspek ditahan kerana disyaki melakukan pembunuhan dan memalsukan bukti. Polis percaya, bapa bayi berkenaan tidak terlibat dalam jenayah itu. 


Sumber: Daily Star



from The Reporter https://ift.tt/37oy2b9
via IFTTT