'Kenapa masih siasat punca? Kami mahu tahu siapa pelakunya' - Bapa arwah Adib kesal kerajaan nak siasat punca kematian
Keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang meninggal dunia akibat rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November 2018, mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih menyiasat punca kematiannya berbanding mendedahkan wajah sebenar individu yang bertanggungjawab.
Mohd Kassim Abdul Hamid, 46, berkata, keluarganya sudah lama bersabar dan kini hanya mahu tahu siapa pelaku yang menyebabkan kematian Adib.
"Kenapa masih nak siasat punca kematian Adib, mereka tidak percaya kepada keputusan mahkamah? Kami sudah lama bersabar untuk melihat sendiri wajah pelaku yang menyebabkan kematian Adib.
"Tetapi sampai sekarang kerajaan masih hendak siasat penyebab kematian Adib. Bukankah keputusan inkues yang lepas sudah jelas mengatakan bahawa kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah," katanya.
Bagi Mohd Kassim, kerajaan sepatutnya menyiasat dan mencari individu yang menyebabkan kematian Adib kerana mahkamah telah mengeluarkan arahan untuk berbuat demikian.
"Saya bukan cakap kosong, saya cakap berdasarkan keputusan Mahkamah Koroner, bukan seorang saksi yang tampil beri keterangan sepanjang inkues itu, bukti-bukti pun ada.
"Jadi, sudah-sudahlah membuat masa, nak tangguh sampai bila? Kami ahli keluarga semua berpegang pada keputusan inkues itu dan kami nak kerajaan cari pelaku secepat mungkin," katanya.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Parlimen semalam memaklumkan, hasil siasatan terhadap punca kematian Adib akan dimaklumkan tidak lama lagi.
Siasatan polis kini katanya berada di peringkat akhir dan hasil siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Sumber: Sinar Harian
LAPORAN BERKAITAN KES KEMATIAN ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB
from The Reporter https://ift.tt/3gTnkN1
via IFTTT