'Saya perlu sedikit ruang untuk mengubat jiwa & mental saya' - Da'i Syed dibebaskan selepas bayar ikat jamin RM35,000


Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, atau dikenali ramai sebagai Da'i Syed hari ini dibebaskan selepas melunaskan bayaran ikat jamin berjumlah RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya.


Peguam bela selebriti itu, Syed Amirul Syed Edros berkata, bayaran ikat jamin anak guamnya dilunaskan oleh abangnya, Syed Shah Iqram dan pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar.


Menurut Syed Amirul, kegagalan anak guamnya membayar ikat jamin selepas didakwa di kedua-dua mahkamah berkenaan pada 10 Dis lalu menyebabkan dia ditahan di Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang.


"Urusan di Mahkamah Shah Alam selesai kira-kira pukul 11 pagi tadi dan kemudian dia (Syed Shah Iqmal) dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi urusan di situ pula," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Pada 10 Dis lalu, Syed Shah Iqmal, 25, didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya, dan pada hari yang sama di Mahkamah Shah Alam pula dia menghadapi tuduhan merogol seorang wanita.


Di Mahkamah Petaling Jaya, dia dikenakan ikat jamin RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tarikh 19 Feb ditetapkan untuk sebutan semula kes, manakala di Mahkamah Shah Alam dia dikenakan ikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes pada tarikh 25 Jan.


Sementara itu, Syed Shah Iqmal ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan di Mahkamah Petaling Jaya berkata beliau redha dengan ketentuan berkenaan dan menyerahkan hal seterusnya kepada mahkamah.


Katanya buat masa ini, beliau akan berehat sementara waktu dan melepaskan rindu bersama keluarga selepas direman selama 18 hari.


"Saya juga perlukan sedikit ruang untuk mengubat jiwa, mental dan kesedihan saya," katanya.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/3qXKarg
via IFTTT