Suri rumah dipenjara sehari, denda RM1,200 kerana mencuri makanan di pasar raya


Seorang wanita berusia 38 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas pertuduhan mencuri beberapa minuman dan makanan di sebuah pasar raya di Bandaraya Melaka, September lalu. 


Tertuduh, Zalifah Salleh, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamad Noh.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga suri rumah itu didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang di pusat beli-belah di Bandaraya Melaka, Jalan Panglima Awang, 30 September 2020. 


Antara makanan yang dicuri adalah dua kotak kopi jenama Starbucks, satu botol Nuttela 680 gram, dua bungkus sushi, empat kotak susu UHT Dutch Lady, satu botol Ribena Mobile dan dua tin biksut coklat Amore. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. 


Pendakwa Raya, Raudhah Mazman, meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadasp tertuduh sebagai pengajaran.


Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan dia tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membuat pembayaran ketika kejadian itu berlaku. 


Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Mohamad Izwan menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 kerana didapati dengan niat curang mencuri tanpa membuat sebarang pembayaran barangan bernilai RM161.10 kepunyaan juruwang Siti Rahmah Muhamad Salih, 30. 


Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman empat bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. 


Tertuduh juga diberi teguran oleh Majistret bahawa mencuri bukan sesuatu yang boleh dilakukan walaupun berhadapan dengan desakan hidup ketika pandemik Covid-19. 


"Ketika ini (Pandemik Covid-19), saya faham ramai yang terdesak. Tetapi puan boleh mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul, bukannya mencuri. Matlamat tidak menghalalkan cara," katanya.


Tertuduh kemudian memilih untuk membayar denda berkenaan.


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3oUFlx4
via IFTTT