Gadis maut terjun dari tingkat 18 kerana cemburu teman lelaki jalin hubungan dengan wanita lain


Seorang pelajar universiti swasta maut selepas terjun dari tingkat 18 pangsapuri di Bukit Beruang, Melaka pada awal pagi kelmarin kerana cemburu dengan teman lelakinya. 


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanira Ahmad berkata, mangsa berusia 21 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian selepas mendapat tahu teman lelakinya menjalinkan hubungan dengan wanita lain. 


Terdahulu, mayat mangsa ditemui oleh beberapa rakannya dalam keadaan terbaring tidak bernyawa di tanah di belakang blok kediaman asrama mereka pada jam 1.30 pagi. 


"Berdasarkan keterangan rakan mangsa, pada jam 10 malam kelmarin, mangsa bersama beberapa rakan berbincang mengenai hubungannya dengan teman lelaki. Namun ketika perbincangan itu, berlaku satu pertengkaran apabila mangsa mengesyaki teman lelakinya mempunyai wanita lain sebelum dia berlari keluar dari rumah kira-kira jam 1 pagi. 


"Susulan itu, rakannya keluar mencari pelajar itu di sekitar kawasan penginapan universiti dan pada jam 1.30 pagi, mereka menjumpai mayat mangsa di atas tanah di belakang Blok D pangsapuri tersebut," katanya memetik laporan dari Harian Metro. 


Polis kemudian membuat pemeriksaan di setiap tingkat blok bangunan tersebut yang kosong dan menemui sepasang selipar di atas lantai dan satu cermin mata putih di atas tembok berhampiran tangga di tingkat 18. 



Polis percaya, mangsa bertindak terjun dari tingkat 18 untuk membunuh diri. 


Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3nC98Kc
via IFTTT