Kepala luka, perut bayi koyak sampai nampak usus angkara kera liar


Seorang bayi lelaki berusia dua bulan cedera parah akibat digigit dan diseret kera dalam kejadian yang berlaku di kediamannya semalam, lapor Harian Metro


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian itu berlaku pada jam dua petang di Kampung Manggis, Sungai Puyu (Butterworth) semasa ibunya berada di dapur untuk membancuh susu. 


Ibunya bagaimanapun terdengar suara tangisan anaknya lalu bergegas ke ruang tamu dan mendapati anaknya yang sebelum itu diletakkan di atas tilam berada di lantai simen berlumuran darah. Turut kelihatan seekor kera jantan yang berada di hadapan pintu rumah.


Tidak beberapa lama kemudian, bapa mangsa yang baru pulang dari kedai juga terkejut melihat bayinya berlumuran darah dengan kesan gigitan di pipi kanan, belakang kepala dan koyakan di perut sehingga menampakkan usus. 


Pasangan itu bergegas membawa mangsa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang. 


Mangsa selamat menjalani pembedahan kecil bagi mencantumkan kulit perutnya yang koyak dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak untuk rawatan susulan selama dua minggu. Pasangan itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. 


Siasatan awal polis mendapati, pintu dan tingkap rumah mangsa dalam keadaan berkunci serta tidak dibuka pada hari kejadian. Tetapi pihaknya percaya kera terbabit menggoyangkan pintu sehingga kunci selak terbuka. 


Insiden itu merupakan kali pertama berlaku di kampung tersebut sehingga mencederakan manusia. Sebelum ini kera-kera liar pernah menceroboh dapur penduduk tetapi hanya sekadar mengganggu dan mengacau sahaja. 


Kes itu dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut dan Majlis Bandaraya Seberang Perai menangkap haiwan berkenaan. 


Dalam perkembangan terkini, kera yang terbabit dalam kejadian itu telah ditembak mati pada jam 11.30 pagi tadi.


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/2Xsk4PV
via IFTTT