Seorang surirumah tangga berusia 35 tahun di Teluk Betung Selatan, Lampung, Indonesia ditahan polis kerana dipercayai membuunuh anak kandungnya sendiri, Kartika Suci Rahayu, yang berusia 9 bulan.
Ketua Polis Daerah Teluk Betung Selatan, Komisioner Hari Budianto berkata, suspek ditangkap pada Isnin, 28 Februari 2021.
"Seorang lagi suspek lain juga telah ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kes pembunuhan itu, yang merupakan skandal kepada suspek utama," katanya.
Siasatan awal mendapati, motif suspek membunuh bayinya adalah bagi menutup kecurangannya. Pun begitu, polis sedang menjalankan siasatan terperinci.
Menurut Hari, dua suspek terbabit telah menjalinkan hubungan asmara sejak kandungan wanita itu berusia lima bulan. Pembunuhan itu berlaku pada malam Sabtu, 6 Februari 2021, dipercayai telah dirancang sejak dua bulan lalu.
"Suspek memberi mangsa minuman mengandungi gula merah, asam jawa dan minyak ubat rambut," katanya.
Selain itu, suspek dikatakan nekad membunuh anaknya sendiri kerana bimbang sekiranya wajah bayi yang dilahirkan itu mirip dengan wajah kekasih gelapnya.
"Setelah mangsa dilahirkan, suspek bimbang sekiranya wajah anaknya mirip dengan kekasihnya. Bagi mengelakkan hal itu berlaku, suspek merancang untuk menamatkan riwayat mangsa.
Setelah mangsa dibunuh, suspek membawa mayat anaknya itu kepada neneknya yang kemudian memeriksa keadaan mangsa dan mengiakan bayi itu sudah tidak bernyawa.
Sementara itu, suami suspek berusia 34 tahun berkata, dia sudah lama mencurigai isterinya curang dengan lelaki lain, semenjak isterinya mengandung lima bulan.
Dia kini menyerahkan kes itu sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan tindakan undang-undang.
Nenek mangsa, Warni, 49, berkata dia tidak pernah menyangka akan melihat cucunya dalam keadaan tidak bernyawa. Ceritanya, ketika suspek membawa mangsa, dia sudah curiga yang mangsa tidak menangis seperti biasa sebelum mendapati cucunya itu sudah meninggal.
"Cucu saya yang meninggal dunia ini nombor dua. Kakaknya berumur empat tahun. Dia menangis dan beritahu adiknya diam saja.
"Semasa dia (mangsa) dibawa ke sini, langsung tak menangis. Padahal sebelum ini kalau nak ditidurkan, menangis. Periksa badannya, dah keras dan bibirnya biru, termasuk di bahagian perut," katanya.
Kedua-dua suspek kini berdepan dengan tindakan undang-undang kerana melakukan pembunuhan terancang yang memperuntukkan hukuman mati.
Sumber: Tribun News
from The Reporter https://ift.tt/2LMXX4o
via IFTTT