(Video) 'Dia menangis tanpa henti...' - Calon SPM tatap wajah jenazah bapanya kali terakhir sebelum sambung exam
Tatkala calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lain sedang menjawab kertas peperiksaan, Muhammad Haikal Iskandar Zamry, 18, menangisi pemergian bapanya di perkarangan sekolah dan menatap wajah bapa kesayangannya itu buat kali terakhir sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
Guru bimbingan dan kaunseling SMK Simpang Beluru, Badariah Mohd Mohaidin berkata, pelajar itu diberi kesempatan untuk berbuat demikian selepas ibunya mencadangkan jenazah suaminya dibawa ke sekolah, memandangkan anaknya yang terikat dengan jadual peperiksaan tidak memungkinkannya untuk menatap jenazah bapa buat kali terakhir.
Difahamkan, bapa pelajar itu pada awalnya koma semasa dirawat di Hospital Taiping sejak beberapa hari lalu akibat komplikasi buah pinggang, selain jangkitan kuman dalam darah. Haikal langsung tidak berpeluang untuk menziarahi bapanya atas sebab SOP yang dikenakan bagi mengekang wabak Covid-19.
"Arwah meninggal dunia semalam, namun baru hari ini jenazah dibenarkan keluar dari hospital untuk dikebumikan. Bagiamanapun Haikal tetap ingin menduduki kertas hari ini walaupun sedia tahu ayahnya sudah tiada.
"Ketibaan van jenazah ke sekolah sememangnya untuk beri peluang kepada Haikal menatap wajah arwah buat kali terakhir memandangkan peperiksaan yang didudukinya sehingga petang..
"Jika Haikal balik rumah untuk menghadiri pengebumian ayahnya, memang tidak sempat. Bahkan Haikal terlewat 20 minit berbanding calon lain yang sudah menduduki kertas Sejarah 2 ketika menghabiskan masa menatap arwah bapanya itu," katanya.
Haikal merupakan anak sulung dari tiga beradik dari keluarga yang kurang berkemampuan. Sebelum ketibaan van jenazah itu, Haikal ditenangkan oleh guru-gurunya yang melihat dia menangis tanpa henti pada waktu rehat, selain menyediakan bilik khas untuk dirinya bertenang dan melepaskan emosi yang tidak begitu stabil.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/3dKOYfp
via IFTTT