(Video) 'Saya tak tolak dia' - Wanita sarat mengandung maut ditolak suaminya dari tebing bukit, disyaki untuk claim insurans RM218K


Viral video di media sosial yang menunjukkan detik terakhir sebelum seorang lelaki yang bakal menjadi bapa, menolak isterinya yang sarat mengandung dari tebing bukit sehingga menyebabkan kematiannya. 


Hakan Aysal, 40, ditahan kerana membunuh isterinya, Semra Aysal, 32, dan bayi mereka yang belum lahir, ketika sedang bercuti di Butterfly Valley di bandar Mugla, Turki. 


Hakana didakwa menolak isterinya yang sedang hamil tujuh bulan pada waktu itu dari tebing di mana Semra dan kandungannya terbunuh serta-merta pada bulan Jun 2018. 


Sebelum itu, pasangan berkenaan merakam gambar bersama di lokasi kejadian dan pihak pendakwa raya berkata, 'kemalangan' itu sebenarnya adalah pembunuhan terancang yang dilakukan Hakan untuk mendapatkan tuntutan insurans yang dilanggannya sebelum kematian Semra. 


Video menunjukkan, pasangan itu berjalan di tebing curam yang berbahaya. Hakan memegang tangan isterinya untuk pergi ke bahagian bawah bagi mendapatkan pemandangan yang lebih baik ke arah Laut Aegean. Beberapa minit kemudian, Hakan menolak Semra dari tebing. 


Pelancong yang membuat rakaman video itu mendakwa, kelakuan Hakan pada ketika itu nampak pelik. 


Hakan didakwa melakukan jenayah pembunuhan terancang terhadap isterinya dengan terlebih dahulu melanggan insurans kemalangan diri bagi pihak Semra yang menawarkan pampasan 400,000 Lira Turki (RM218,213) dan satu-satu pewaris yang dinamakan adalah Hakan. 


Menurut pendakwa raya lagi, satu-satunya alasan Hakan membawa Semra duduk di lokasi kejadian itu selama tiga jam adalah kerana dia mahu memastikan tiada sesiapa yang berada di sekitarnya. 


Setelah mendapati tiada orang lain, Hakan dengan sengaja menolak Semra dari tebing yang menyebabkan isteri dan bayi yang dikandung maut serta-merta. 


Selepas kejadian itu, Hakan dilaporkan membuat tuntutan insurans tetapi ditolak selepas pihak berkuasa mengumumkan kertas siasatan dibuka. 


Mahkamah kemudian memutuskan untuk menahan reman Hakan atas pertuduhan melakukan pembunuhan terancang. 


Sementara itu, abang mangsa, Naim Yolcu berkata, "Apabila kami pergi ke Institut Perubatan Forensik untuk menuntut mayat Semra, Hakan juga turut serta. Saya dan keluarga sangat terkesan dengan kejadian itu, tetapi Hakan langsung tidak kelihatan sedih. 


"Adik saya sentiasa menolak untuk membuat pinjaman peribadi, tetapi selepas dia mati kami mendapati dia mempunyai tiga pinjaman bank yang dibuat oleh Hakan menggunakan nama adik saya. 


"Selain itu, Semra juga takut dengan tempat tinggi. Sukan ekstrem apa yang dia akan lakukan kalau tempat tinggi pun dia tak berani nak jejakkan kaki?" katanya. 



Ditanya mengenai langganan insurans (premium) yang diambilnya, Hakan berkata, "Saya meminati sukan lasak sejak 2014 seperti payung terjun, bungee jump, meredah jeram. Sebab itu saya mempunyai insurans hayat sebelum berkahwin. 


Juga turut ditanya insurans peribadi yang dilanggan isterinya yang menyatakan dia akan menjadi pewaris sekiranya Semra meninggal, Hakan berkata, "Saya tidak banyak meneliti polisi. Pihak bank yang buat kertas kerja. Saya hanya bawakan kepada isteri untuk ditandatangan," katanya. 


Hakan juga menafikan bahawa dia bertanggungjawab di atas kematian isterinya. 


"Selepas mengambil gambar, isteri saya letak telefonnya di dalam beg. Tidak beberapa lama kemudian, dia meminta saya menyerahkan telefonnya semula. 


"Saya bangun dan baru beberapa langkah saya nak pergi ambil telefonnya dalam beg, saya terdengar isteri menjerit. Bila toleh ke belakang, dia dah tak ada. Saya tak tolak isteri saya," tegasnya. 


Siasatan masih diteruskan.



Sumber: Daily Mail



from The Reporter https://ift.tt/3slrvFR
via IFTTT