Bekas koperal bunuh anak tiri dihukum gantung sampai mati, sempat pesan pada keluarga 'Jaga anak abang baik-baik'


Seorang bekas koperal polis sempat berpesan kepada ahli keluarga supaya reda dan menjaga anak-anaknya selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana membunuh anak perempuan tirinya, enam tahun lalu.


Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Khairuanuar Baharuddin, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Sejurus prosiding selesai, Muhammad Khairuanuar, yang kelihatan tenang berada di kandang tertuduh, berpaling ke arah ahli keluarganya yang berada di galeri awam sambil tersenyum dan berkata, "Insya-Allah, Allah dah tentukan, doa yang baik-baik. Jaga anak abang baik-baik."


Keluarganya yang mendengar kata-kata itu tidak dapat menahan sebak dan dilihat menangis.



Tertuduh didakwa membunuh Hanis Amanda Mohd Zafil yang berusia dua tahun ketika kejadian di sebuah kondominium di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini antara 7 pagi dan 7.30 malam, 6 November 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.


Dalam penghakimannya, Hakim Sequerah berkata mahkamah mendapati bahawa seluruh keterangan mengikut keadaan di dalam kes ini menjurus kepada kesimpulan tertuduh membunuh si mati.


"Oleh itu, mahkamah mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 302. Hukuman di dalam kes ini adalah mandatori iaitu gantung sampai mati," kata hakim itu.


Seramai 15 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil membela diri sepanjang perbicaraan itu.



Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria manakala peguam Fahri Azzat mewakili tertuduh.


Kes menyayat hati itu dilaporkan media pada November 2015 yang membawa kepada pembukaan akaun Facebook atas nama "Keadilan Untuk Amanda."


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/3drkM7E
via IFTTT