'Kesalahan guna ekzos bising hanya akan dikenakan advokasi' - Wee Ka Siong minta KP JPJ tidak kenakan saman terhadap pesalah selepas dengar ucapan Zahid di PAU
Buat masa ini, kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat, kata Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.
Wee yang juga Presiden MCA berkata perkara itu telah dimaklumkan olehnya kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zailani Hashim agar pesalah tidak dikenakan tindakan saman.
"Saya telah meneliti ucapan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, termasuk pandangannya tentang penguatkuasaan terhadap ekzos bising motosikal.
"Saya ingin maklumkan bahawa MOT (Kementerian Pengangkutan) telah membuat satu keputusan, bahawa pada peringkat ini lebih elok tumpukan kepada pendekatan advokasi iaitu dikeluarkan Notis 114 daripada tindakan saman," katanya kepada media selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno 2021, di Kuala Lumpur hari ini.
Notis 114 ialah notis panggilan temu siasat dan mereka yang menerima notis itu perlu tampil memberikan keterangan di mana-mana cawangan JPJ untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Wee berkata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPJ bagi menyelaraskan tindakan advokasi tersebut memandangkan langkah berkenaan turut melibatkan polis trafik.
Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan saman hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan kepada pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising.
Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.
Setakat 5 Mac lalu, sebanyak 10,166 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Khas Ubah suai Ekzos (bising) di seluruh negara bermula 1 Mac, menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Isu itu disentuh oleh Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno pagi tadi yang berkata dia dimaklumkan tentang motosikal disita kerana ekzos yang diubah suai.
"Janganlah sampai disita. Bagaimana mereka ingin meneruskan survival kehidupan sedangkan itulah satu-satunya kenderaan yang mereka ada untuk mencari rezeki. Apakah kita sudah buta hati, dan kejam, membiarkan kehidupan rakyat terus menerus terbeban? Rakyat kecewa dan terus merana," kata Ahmad Zahid.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/3dcpHch
via IFTTT