'Notis dah ada tapi....' - 10 pengunjung cedera selepas naik jambatan gantung yang masih dalam penyelenggaraan terputus
Kira-kira 10 pengunjung yang sedang menaiki jambatan gantung di Lata Keding, Bukit Kudung, Ayer Lanas di Jeli, kira-kira 85 kilometer dari sini, dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan selepas kabel jambatan gantung itu terputus petang semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata pihaknya dihubungi orang awam memaklumkan kejadian di pusat rekreasi tersebut pada 2.30 petang.
"Kejadian berlaku apabila kabel jambatan gantung itu terputus mengakibatkan pengunjung yang menaikinya terjatuh dan cedera.
"Semua mangsa yang terlibat dalam insiden itu telah dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan. Jumlah mangsa terlibat dan keadaan mereka tidak dapat dipastikan lagi setakat ini," katanya.
Mengulas lanjut, Shafien berkata jambatan gantung merintangi anak sungai itu dibina setinggi kira-kira lima meter dan sepanjang 30 hingga 40 meter itu masih dalam pembinaan serta belum siap sepenuhnya.
"Terdapat notis pemberitahuan jambatan tersebut masih dalam penyelenggaraan dan baru siap sebanyak 50 peratus. Polis masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian itu," katanya.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/3s41ivD
via IFTTT