'Alahai.. berniaga burger depan rumah, kena kompaun RM50,000' - Lelaki terkilan, ada pihak buat report terhadap gerai burgernya


Seorang peniaga burger berasa terkilan kerana dikenakan kompaun RM50,000 hanya kerana berniaga melebihi had waktu.


"Alahai dugaan bulan puasa. Berniaga burger di depan tangga rumah, jam 11 malam, polis datang. Berniaga burger kena kompaun RM50,000. Semoga rezeki aku dan keluarga bertambah. Ada hikmah di sebalik kejadian. Berniaga pun untuk buat lepas bayar bil-bil bulanan sahaja," kata Faisal Burger atau nama sebenar Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, di Facebooknya. 


Berdasar surat kompaun, kejadian berlaku pada 25 April, 2021 di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu pada jam 11.21 malam. Faisal pada ketika itu sedang menyiapkan pesanan pelanggan dan tiada seorang pun yang berada di gerainya. 


"Tiada seorang pelanggan pun di gerai dan saya sedang siapkan pesanan pelanggan iaitu golongan pekerja kilang. Biasanya pesanan itu saya akan hantar ke kilang mereka bekerja. 



"Memang saya belum tutup kedai, tetapi saya sudah tidak berniaga ketika itu, cuma menyiapkan tempahan untuk dihantar. Meja gerai pun saya tak buka. Kami tidak benarkan pelanggan makan di sini sebab tidak mahu berlaku pelanggaran SOP." katanya. 


Faisal bagaimanapun berkata, pihak berkuasa sepatutnya memberikan amaran terlebih dahulu sebelum mengenakan denda itu kepadanya.


"Sejujurnya saya terkilan dan terkejut kerana dikompaun dengan nilai setinggi itu. Dengan keadaan PKP dan tempoh niaga yang begitu terhad ini. Berniaga pun bukannya laris sebagaimana seperti sebelum ini," katanya. 


Jelas Faisal, sebelum ini dia pernah dikenakan kompaun RM1,000 dan kompaun terbaru yang bernilai RM50,000 ini merupakan kes berulang. Semenjak PKP tahun lalu, Faisal mula berniaga di depan rumah yang juga merupakan satu-satunya punca rezeki dia. 



"Saya merayu agar kompaun ini dipertimbangkan semula. Jumlahnya memang terlalu jauh daripada kemampuan saya," katanya yang juga diberitahu oleh anggota penguat kuasa bahawa ada pihak membuat aduan yang mengatakan gerai burgernya beroperasi melebihi had waktu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud berkata, suspek boleh membuat rayuan bagi pengurangan kadar kompaun dari Kementerian Kesihatan. 


"Pada buku saman akan ditulis RM50,000 iaitu jumlah maksimum. Bagi kesalahan individu pula akan ditulis jumlah maksimum RM10,000. Beliau boleh membuat rayuan pada KKM," katanya. 


Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini, FB Faisal Burger



from The Reporter https://ift.tt/3u5ZhjT
via IFTTT