'Kalau kompaun dikurangkan kepada RM25,000 pun, kami tetap tak mampu nak bayar' - Peniaga Burger


Pasangan peniaga burger yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi had masa di tempoh PKP, mengakui banyak menerima panggilan dari pelbagai pihak yang menawarkan bantuan kepada mereka. 


Bagaimanapun, pasangan itu memilih untuk tidak menerima sebarang bantuan dari luar buat sementara waktu kerana masih menunggu proses rayuan yang telah dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu hari ini yang akan memaklumkan nilai kompaun baharu yang perlu dibayar kelak. 


Norlaili Shafien, 37, isteri kepada peniaga burger itu berkata, dia dan suaminya, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, tidak menyangka ramai yang prihatin dengan masalah yang menimpa mereka sehingga ada pelanggan tetap sudah menyumbang secara terus ke dalam akaun bank. 


"Saya dan suami bersyukur kerana viral itu menyebabkan ramai pihak mahu membantu kami termasuk mahu menyediakan khidmat peguam. Bagaimanapun, saya dan suami tidak mahu mengambil sebarang bantuan kewangan sebelum kami mengetahui jumlah kompaun yang perlu dibayar. 


"Pegawai di Pejabat Kesihatan memaklumkan, rayuan kami akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dan jumlah kompaun yang terkini perlu dibayar masih belum diketahui. 


"Apa pun saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlalu prihatin dan sanggup menghubungi kami sehingga lewat malam," katanya. 


Tambahnya, sekiranya diberikan diskaun untuk kompaun tersebut dari RM50,000 ke RM25,000, mereka tetap tidak mampu membayarnya kerana hasil pendapatan menjual burger tidak setanding dengan jumlah kompaun itu. 


Norlaili juga mengaku mereka melakukan kesalahan berniaga melebihi had waktu di tempoh PKP, tetapi mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian. 


"Saya mengakui kesalahan berniaga lebih waktu, namun saya juga mahu menjelaskan ketika kejadian tiada pelanggan dan kami juga tidak membuka meja sepanjang PKP. Kami hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pelanggan sahaja," katanya. 


Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan pihaknya akan meneliti semula kadar kompaun yang dikenakan itu. Kertas siasatan juga akan dibuka serta anggota atau pegawai yang mengenakan kompaun tersebut akan dipanggil untuk memberi penjelasan. 


"Pihak polis akan melihat dari semua aspek termasuk kewajaran serta rungutan daripada masyarakat tentang jumlah kompaun yang dikenakan. 


"Seterusnya akan merujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk nasihat dan pandangan selanjutnya," katanya. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3nwXbac
via IFTTT