'Mangsa dijerut guna kabel elektrik, leher ditikam & dikelar' - Tak tahan selalu dibuli, suspek ajak rakan bunuh mangsa lalu disumbat dalam beg & dibuang di tepi jalan
Kehilangan seorang lelaki berusia 20 tahun tanpa berita menimbulkan kebimbangan ibu saudaranya. Lebih-lebih lagi mangsa dikatakan tidak menghubunginya seperti biasa selepas pulang dari kerja sejak Sabtu lalu, membuatkan ibu saudaranya menghubungi majikan mangsa untuk bertanya keberadaan lelaki yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di SS 15, Subang Jaya.
Majikannya bagaimanapun memaklumkan mangsa tidak datang bekerja. Bimbang dengan keadaan anak saudaranya itu, ibu saudaranya meminta bantuan polis untuk mencari lelaki berkenaan.
Ibu saudara bersama majikan mangsa serta pihak polis kemudian pergi ke tempat tinggal mangsa (apartmen servis) pada jam 4.30 petang Ahad, 18 April 2021, dan mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka dan barangan di dalam rumah juga berselerakan. Turut ditemui, kesan tompokan darah di dalam tandas.
Polis kemudian memeriksa video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati kehadiran tiga lelaki yang tidak dikenali masuk ke rumah mangsa pada jam 12 malam, Ahad. Mangsa dilihat pulang ke rumah, 30 minit selepas itu.
Selepas satu jam kemudian, tiga lelaki terbabit dilihat membawa keluar satu beg hitam yang kelihatan berat dan menolak sebuah tong sampah.
Berdasarkan video CCTV tersebut, polis telah menahan empat suspek lelaki dalam serbuan berasingan di Kajang, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati, salah seorang suspek merupakan rakan serumah mangsa. Suspek utama dengan dua lagi suspek dipercayai menyerang mangsa dengan menjerut lehernya menggunakan wayar kabel elektrik sebelum mangsa ditarik masuk ke dalam tandas. Leher mangsa ditikam dan dikelar.
Mayat mangsa kemudian disumbat dalam sebuah beg pakaian dan dihumban ke dalam tong sampah yang ditinggalkan di tepi jalan di susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke Persiaran Kewajipan.
Susulan dari pengakuan suspek, polis pergi ke lokasi kejadian pada jam 2.30 petang Isnin, 20 April 2021 dan menemui tong sampah bersama beg berisi mayat mangsa, kira-kira 1.5 kilometer dari kediaman mangsa. Turut ditemui dokumen peribadi, permaidani, kain dan dompet mangsa di bawah jejambat Jalan SS 16/1, kira-kira 1 kilometer dari rumah mangsa.
Keputusan ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Polis percaya, mangsa dibunuh oleh suspek utama kerana bermotifkan dendam. Suspek utama sering dibuli di tempat kerja menyebabkan dia bertindak mengajak suspek yang lain membunuh mangsa.
Suspek utama direman sehingga 23 April 2021, manakala tiga lagi suspek direman sehingga 26 April 2021. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Berita Harian, Bernama
from The Reporter https://ift.tt/2QGZxH2
via IFTTT