'Keadaan keselamatan terkawal, orang ramai diseru untuk bertenang' - KDN arah semua agensi keselamatan tingkatkan semua aspek kawalan keselamatan
Naib Presiden Yayasan Pertahanan Demokrasi, Jonathan Schanzer pada 15 Mei 2021 memuat naik tweet yang memaklumkan, Channel 13 (saluran berita) melaporkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah memberi lampu hijau untuk menyasarkan semua operasi Hamas di semua peringkat, baik di dalam Gaza mahupun di luar. Jelasnya implikasi terhadap Iran, Turki, Qatar, Malaysia dan lain-lain.
Susulan dari kenyataan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua agensi keselamatan meningkatkan semua aspek kawalan keselamatan bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia termasuk warga Palestin yang berada di negara ini.
Menterinya, Hamzah Zainudin menyeru orang ramai kekal bertentang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan Kerajaan Malaysia akan terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin.
Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan yang digerakan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber ATAM (CDOC), bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat ditangani.
Meskipun tweet Jonathan itu tidak diketahui kesahihannya, netizen Malaysia tetap membanjiri tweet tersebut dengan menyatakan sokongan yang tinggi terhadap Palestin dan menegaskan Malaysia tidak takut dengan sebarang ancaman dari Israel.
Pada April 2019, seorang pensyarah warga Palestin, Dr Fadi Albatsh, 35, telah dibunuh oleh dua suspek yang dipercayai ejen perisikan Israel, Mossad, ketika mangsa dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh di Jalan Gombak.
Siasatan polis mendapati, suspek melepaskan 10 das tembakan dan empat daripadanya terkena di kepala dan badan mangsa.
Dr Fadi Albatsh, merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan ellektrik dan pembuatan roket serta aktif dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang memperjuangkan isu Palestin.
Sumber: Bernama, MalaysiaKini, Astro Awani
from The Reporter https://ift.tt/3bv16Q3
via IFTTT