'Saya tegur dia guna handphone ketika menunggang motosikal, bahaya' - Lan Pet Pet jelaskan punca sebenar kejadian
"Saya menegurnya. Tindakan dia menggunakan telefon bimbit ketika menunggang motosikal amat berbahaya. Bukan saja boleh mengancam nyawanya, malah pengguna jalan raya lain," demikian penjelasan pelawak Mazlan atau Lan Pet Pet mengenai insiden pergaduhan yang viral di media sosial beberapa hari lalu.
Pelawak berusia 52 tahun berkenaan dirakam merangkul dan memukul kepala seorang penghantar makanan sebelum dileraikan orang awam. Ketika itu, Lan juga sempat memberi amaran kepada lelaki itu.
Berkata kepada Harian Metro, Lan menjelaskan dia terdahulu sedang memandu di Jalan Ampang, di hadapan Kedutaan Russia dan ternampak penghantar makanan itu sedang menunggang motosikal sambil menggunakan telefon bimbit.
Dalam masa yang sama, lelaki itu menunggang di tengah jalan, jelas sekali boleh mendatangkan bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya lain. Lan kemudian bertindak menegur lelaki terbabit, namun tercetus pertengkaran di antara mereka berdua yang membawa kepada pergelutan.
"Lain pula jadinya (bila dah ditegur), saya kena maki dan menerima provokasi. Saya juga manusia biasa, kesabaran ada batasan. Takkan saya mahu membiarkan saja apabila diserang.
"Tindakan saya hanya untuk mempertahankan diri, bukan tunjuk samseng. Kami hanya bergaduh dalam beberapa saat saja," jelas Lan.
Kejadian itu sempat dirakam oleh seorang wanita yang kemudian menyebarkan video tersebut di media sosial tanpa mengetahui cerita sebenar di sebalik kejadian itu.
Hal ini menyebabkan Lan dikecam teruk di media sosial termasuk ada netizen yang mengaitkannya dengan babak filem Senario di mana watak yang dilakonkan Lan membaling batu sehingga mencederakan kepala adiknya (watak lakonan Wardina) sendiri.
Perbuatan wanita itu sedikit sebanyak telah membuatkan Lan rasa kecewa kerana bukan sahaja wanita itu tidak mengetahui punca sebenar kejadian, malah membuka aibnya di media sosial.
"Saya kesal dengan tindakan wanita ini, dia hanya melihat kejadian depan mata tanpa mengetahui punca kejadian sebenar. Saya diberitahu wanita ini mula menyebarkan video menerusi aplikasi WhatsApp sehingga tular.
"Dia tidak sepatutnya membuka aib orang sesuka hati. Tindakannya menyebarkan video ini boleh menimbulkan fitnah," katanya.
Susulan itu, Lan telah membuat laporan polis berhubung pergaduhan itu dan satu lagi laporan terhadap wanita yang merakam dan menyebarkan video tersebut.
Lan juga akan bertemu dengan penghantar makanan terbabit hari ini bagi menyelesaikan masalah di antara mereka di balai polis.
"Saya tidak mahu membiarkan insiden ini terus membelenggu hidup secara berpanjangan. Lagipun, eloklah kami meleraikan kekusutan yang berlaku, Aidilfitri pun tidak lama lagi," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/3ulgZ2P
via IFTTT