Bapa dituduh rogol anak, rayu dibenarkan diikat jamin atas alasan hidap penyakit gaut


Seorang penggangur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, kerana dituduh merogol anaknya, pada bulan lalu. 


Tertuduh yang juga bapa kepada lima anak itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, di hadapan Hakim Nariman Badruddin. 


Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh berusia 39 tahun itu didakwa sengaja merogol anak sulungnya berusia 18 tahun di rumah di Jasin pada 23 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, serta sebatan. 


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dengan persetujuan mangsa, mengikut Seksyen 377B yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan. 


Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli tidak menawarkan sebarang jaminan. Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberi jaminan rendah kerana dia menghidap gaut dan kehidupan keluarganya bergantung kepada bantuan bulanan agensi kerajaan, manakala isterinya pula hanya bekerja sebagai tukang cuci. 


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan sebutan semula kes serta lantikan peguam pada 26 Julai.


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3A0gvCh
via IFTTT