Lelaki tetak bapa kerana bengang dengar suara tangisan anak saudara berusia 4 tahun


Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun parah ditikam anak lelakinya berusia 23 tahun yang dipercayai marah selepas mendengar anak saudaranya menangis. 


Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi tadi di kediaman mereka berhampiran Pasar Bachok.


Difahamkan ketika kejadian, saksi yang juga anak saudara perempuan suspek berusia 16 tahun bersama dengan suspek dan mangsa di rumah itu, dengan seorang lagi adiknya berusia empat tahun. 


Menurut saksi, kejadian bermula apabila suspek memarahi mangsa kerana tidak tahan mendengar suara tangisan adiknya lalu bertindak memukul mangsa. Bapa suspek cuba menghalang tetapi gagal. 


Suspek terus pergi ke dapur dan mengambil sebilah pisau lalu menikam bapanya beberapa kali di bahagian kepala, leher dan anggota badan yang menyebabkan kecederaan di leher kanan, atas kepala, telinga kiri, tapak tangan kiri dan calar di lengan tangan kiri. 


Saksi kemudian segera melarikan diri bersama adiknya untuk meminta pertolongan. Manakala warga emas terbabit menghubungi anak lelakinya yang lain untuk memaklumkan kejadian itu. Tidak beberapa lama kemudian, anak mangsa pulang dan meminta suspek meniarap di lantai. Mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis. 


Siasatan awal polis mendapati, suspek merupakan pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak lima tahun lalu dan mengambil ubat setiap enam bulan. 


Polis mengesahkan punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak suka mendengar suara tangisan anak saudaranya. Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan keputusan saringan air kencing juga adalah negatif, disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3muAZyI
via IFTTT