'Menyamakan Pulau Pinang dengan perjudian adalah penghinaan' - Mufti Negeri tegur Sanusi tak matang


Susulan kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyarankan orang ramai yang ingin membeli nombor ekor di negerinya berkunjung ke Pulau Pinang untuk berbuat demikian, kenyataan itu telah mengundang rasa kesal Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor. 


Menurut Wan Salim, kenyataan Sanusi yang menyamakan Pulau Pinang dengan perjudian adalah penghinaan terhadap institusi Islam di Pulau Pinang. Sedangkan kerajaan negeri sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di Pulau Pinang. 


Dalam pada itu juga, Wan Salim memberi peringatan kepada Sanusi bahawa, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama di Pulau Pinang. Maka segala urusan berkaitan dengan agama Islam adalah terletak secara langsung di bawah naungan Agong. 


'Selaku seorang abang, saya menasihatkan Sanusi berhati-hati dalam membuat kenyataan. Beliau perlu menjaga imej jawatan disandangnya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang terpengaruhnya agak terhad. 


"Sanusi tidak sepatutnya menimbulkan kontroversi melibatkan pemimpin negeri lain melalui kenyataan seperti itu sebaliknya beliau perlu kekal menjalinkan hubungan mesra dengan semua pihak. 


"Sanusi sepatutnya mempamerkan kematangan berfikir dan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam menghayati semangat Keluarga Malaysia sebagaimana dicetuskan Perdana Menteri," katanya. 


Sumber: Free Malaysia Today



from The Reporter https://ift.tt/3FlYct8
via IFTTT