'Saya hanya mampu tengok anak-anak tergolek seorang demi seorang' - 9 sekeluarga alami keracunan selepas makan cendawan liar


Sembilan beranak mengalami keracunan selepas menikmati sayur cendawan goreng selepas kurang sejam menjamah makanan tersebut dalam kejadian Isnin lalu di Kampung Nyiur, Dungun, Terengganu. 


Ibu kepada lapan anak berkenaan, Nurul Musfirah Ghazali, 32, berkata, dia memetik cendawan yang tumbuh di kebun sekitar rumahnya tanpa mengetahui spesis cendawan itu sebenarnya beracun. 


Cendawan itu kemudian digoreng bersama sayur kangkung dan kacang untuk dimakan pada waktu tengah hari oleh mereka sekeluarga. Malangnya, kurang dari sejam kesemua mereka mengalami keracunan. 


"Tidak sampai sejam, saya rasa seperti ada yang tidak kena. Terasa seolah-olah hendak terbakar di dalam perut. Rasa panas semacam dan pada masa sama saya muntah berdarah termasuklah suami, Muhammad Nurhadi, 36. 


"Dalam keadaan tidak bermaya, kami hanya mampu melihat seorang demi seorang anak tergolek. Ada yang mulut berbuih dan keluar darah. Allah saja yang tahu perasaan saya pada masa itu," katanya. 


Walaupun dalam keadaan lemah, suaminya bangkit menggagahkan diri untuk membawa mereka sekeluarga ke Klinik Kesihatan Paka untuk mendapatkan bantuan dengan menaiki van yang dipandunya sendiri. 


Difahamkan, lauk cendawan beracun itu dijamah oleh mereka sekeluarga kecuali anak bongsu berusia setahun sebulan. 


Sebelum ini, Nurul Musfirah mengakui pernah ternampak spesis cendawan itu tumbuh di kebun sayurnya tetapi tidak pernah terlintas di fikiran untuk memetiknya sehinggalah pada hari kejadian dia tanpa ragu-ragu memetik tumbuhan itu untuk dimasak. 


Terdahulu, kakak kepada mangsa, Nurul Annisa Ghazali, 41, sempat memuat naik perkongsian mengenai kejadian yang tidak diduga itu di Facebooknya. 


"Semua dah lembbik. Adik saya hanya mampu melihat anak-anaknya tergolek menahan kesakitan. Dirinya sendiri sudah tidak berdaya. Hanya empat kuntum cendawan, racunnya merebak begitu cepat. 


"Perut mereka terasa panas dan terbakar. Isi perut dimuntahkan terus sehingga tiada apa lagi makanan. Akhirnya dimuntahkan pula darah, dengan buih-buih di mulut mereka. Allahu Rabbi. 


"Di Hospital Dungun, mereka muntah tak henti-henti. Seorang-seorang pergi ke tandas hospital. Keadaan mereka kritikal. Beberapa jam kemudian, mereka semua dilaporkan telah stabil dan dimasukkan ke wad," katanya. 


Sehari selepas kejadian itu, Nurul dan keluarganya pergi ke rumah adiknya untuk melihat sendiri cendawan yang dipetik dan menasihatkan orang ramai mengambil iktibar dari apa yang berlaku serta tidak makan tumbuhan yang tidak diketahui kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan.


Sumber: Sinar Harian, Facebook Nurul



from The Reporter https://ift.tt/3qLJqbk
via IFTTT