10 termasuk 8 kanak-kanak maut dalam kemalangan dirempuh treler dari belakang


10 individu termasuk lapan kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, di sini, malam tadi.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.


Beliau berkata, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 11.42 malam untuk operasi menyelamat.


"Nahas membabitkan 17 mangsa, yang mana 10 daripadanya disahkan meninggal dunia. Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang wanita, manakala lapan lagi membabitkan lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.


"Sebuah kren digunakan untuk mengangkat treler terbabit. Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis. Bagaimanapun, 10 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.



ANAK MENINGGAL MENJELANG SAMBUTAN ULANG TAHUN KELAHIRAN


"Pemergian arwah kehilangan besar buat kami kerana dia banyak membantu keluarga dan tidak pernah berkira soal duit," kata Rolex Shapiai.


Rolex, 53, adalah bapa kepada Muhamad Rahimi Rolex, 27, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 8.3 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) di sini tengah malam tadi.


Selain, Muhamad Rahimi , seorang ibu serta lapan anaknya yang menaiki Proton Wira turut maut dalam insiden berkenaan dipercayai selepas terperosok di bawah sebuah treler. Manakala, empat mangsa cedera dan tiga lagi tidak mengalami kecederaan.


Rolex yang menetap di Sungai Rasau, Seksyen 16, di sini berkata, dia menerima panggilan daripada bomba kira-kira jam 12.30 malam tadi dan tergamam mendengar khabar duka itu kerana sempat bertemu dengan Muhamad Rahimi sebelum anak sulungnya keluar rumah.


"Kali terakhir saya bertemu arwah adalah kira-kira jam 9.30 malam sewaktu dia di rumah.


"Arwah baru pulang dari tempat kerja ketika itu dan kami sempat borak seketika sebelum dia keluar, katanya mahu berjumpa dengan kawan.


"Kebiasaannya, dia pulang jam 12 malam tetapi tidak pada malam tadi. Jadi, saya cuba menghubunginya namun tidak sedap hati apabila anggota bomba yang mengangkat panggilan sebelum beritahu anak saya kemungkinan sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui dekat ruang menunggu di Unit Forensik, Hospital Shah Alam, di sini.


Lebih menyedihkan Rolex adalah apabila Muhamad Rahimi meninggal dunia menjelang sambutan ulang tahun kelahirannya, Rabu depan.


"Ikutkan, saya memang ada perancangan untuk bawa dia pergi makan sempena hari jadinya. Ia sudah jadi kelaziman saya setiap kali menyambut ulang tahun kelahirannya dan anak yang lain namun hasrat itu tidak kesampaian kali ini," katanya.


Sementara itu, adik mangsa, Nur Faqihah Umirah Rolex, 16, turut sedih dengan pemergian Muhamad Rahimi kerana rapat dengan abang sulungnya.


"Kami semua sudah tidur tetapi tersentak selepas ayah kejut dan beritahu abang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.


"Emak mahu ke lokasi kejadian namun jalan sesak jadi kami terus ke sini (Unit Forensik).


"Saya sempat jumpa abang buat kali terakhir ketika di rumah dan malam tadi dia tidak sihat. Emak minta abang makan ubat dan katanya mahu makan apabila pulang ke rumah," katanya.


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3shokCq
via IFTTT