'Berderau darah masa tu' - Pelancong terkejut kena bayar ganti rugi RM5,000 gara-gara jetski terbalik
Hasrat satu keluarga untuk menikmati percutian di Langkawi bertukar menjadi 'tragedi' apabila mereka terpaksa mengeluarkan wang ribuan ringgit untuk membayar ganti rugi terhadap kerosakan pada jetski yang disewa.
Perkongsian mengenai insiden itu dikongsi oleh Dla Afindi di Facebook Langkawi Hari Ini (LHI), yang telah mengundang banyak reaksi netizen.
Menurut Dla, hari terakhir percutian di pulau peranginan itu, mereka sekeluarga melakukan aktiviti air dengan menaiki jetski. Malangnya, jetski yang dinaiki oleh adiknya terbalik disebabkan ombak kuat.
"Hari last di Langkawi, repeat naik jetski. Second day dah naik dua biji, so last day booked dua, tetapi dapat satu je. Kebetulan masa itu, jetski yang satu lagi ada masalah.
"Adik saya pun naik jetski, macam biasa dia suruh cepat-cepat sign form. Dek kerana keseronokkan dan keterujaan, sampai terlupa baca isi kandungan dalam borang yang ditandatangan itu. Sama saja macam semalam, sign cepat-cepat sebab diorang suruh sign je kan.
"Diorang pun naik berdua, masa itu dah nak dekat maghrib, cecah jam tujuh petang. Jetski diorang (adik saya) terbalik sebab ombak kuat. Mujur ada bot ternampak dan diorang (adik saya) minta tolong," katanya.
Namun, mereka tidak menyangka pihak pengurusan telah mengenakan penalti dan ada dijelaskan dalam borang bahawa sekiranya jetski terbalik, pengguna perlu membayar ganti rugi sebanyak RM5,000. Dla akui, mereka terkejut dengan amaun denda yang dikenakan.
Atas budi bicara pihak pengurusan, mereka dikenakan penalti sebanyak RM3,000 sahaja. Tetapi angka itu masih tidak dapat diterima kerana jumlah itu melebihi kemampuan mereka.
Dla berkata, dia ada membuat pencarian di Google mengenai insiden seumpama itu dan mendapati ada yang pernah mengalami kejadian yang sama. Pihak pengurusan menjelaskan, ganti rugi tersebut dipinta untuk membaikpulih jetski yang telah rosak dimasuki air.
Setelah berbincang dengan pihak pengurusan berkenaan, akhirnya mereka dikehendaki membayar jumlah yang tidak dinyatakan kepada umum. Memandangkan tiada pilihan lain, pengadu berkata mereka terpaksa membayar ganti rugi itu. Dla berharap apa yang berlaku pada mereka menjadi pengajaran kepada yang lain agar lebih berhati-hati apabila mengendali kenderaan sewa.
"Ingatlah apa yang anda baca hari ini kalau mahu naik jetski di masa akan datang. Mungkin memang adik saya salah dan gagal mengawal jetski, tetapi kami menerima kesilapan kami dan membayar ganti rugi dipinta.
Sumber: Facebook Langkawi Hari Ini
from The Reporter https://ift.tt/3F0atUp
via IFTTT