'Bawa lebih ramai pekerja Bangladesh, India & Thailand ke Malaysia' - Zuraida


Selain Indonesia, Malaysia sedang mengadakan perbincangan dengan India, Bangladesh dan Thailand (Selatan) untuk membawa lebih ramai pekerja asing ke dalam industri perladangan tempatan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.


Katanya, Indonesia sudah meluluskan kemasukan 32,000 rakyatnya pada pertengahan Februari tahun ini selepas Malaysia menyelesaikan beberapa isu teknikal dengan pemerintahnya.


"Mereka mahu menandatangani memorandum persefahaman yang merangkumi pekerjaan dalam industri sebaik sahaja, apabila kita mengesahkan rakyat mereka dibenarkan datang ke Malaysia," katanya kepada pemberita sempena Seminar Kajian Ekonomi dan Tinjauan Minyak Sawit (R&O) 2022 anjuran MPOB hari ini.


Menurutnya, terdapat juga faktor lain yang sedang dibincangkan dengan Indonesia iaitu tempat tinggal dan kebajikan sosial pekerja mereka di sini.


"Upah tidak menjadi isu kerana gaji minimum adalah RM1,200 dan secara purata pekerja kelapa sawit berpendapatan RM2,200 sebulan," katanya.


Ditanya sama ada Indonesia meminta gaji minimum yang lebih tinggi, Zuraida berkata kementerian akan membabitkan syarikat perladangan dan akan berunding semula dengan pemerintah Indonesia untuk mencari penyelesaian yang lebih baik.


Sementara itu, beliau mahu memastikan industri perladangan terus mempunyai bekalan tenaga kerja bagi mengekalkan pengeluaran minyak sawit yang konsisten termasuk mengelakkan kehilangan tandan buah segar.


Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa ini hanyalah strategi jangka pendek memandangkan dalam tempoh lima tahun akan datang, negara akan mengurangkan kebergantungannya kepada buruh asing dan menggantikan dengan automasi serta mekanisasi yang mantap.


Zuraida dalam ucapannya sebelum ini menjelaskan dari Januari hingga Disember 2021, purata harga MSM melonjak 64.1 peratus kepada rekod tertinggi dalam sejarah minyak sawit pada RM4,407.00 satu tan berbanding RM2,685.50 satu tan dalam tempoh yang sama pada 2020.


Katanya, purata harga MSM mencapai kemuncak rekodnya bagi purata bulanan pada RM5,341.00 satu tan menjelang November 2021 dan purata harian rekod sebanyak RM5,429.00 satu tan pada 19 November 2021.


Ini menghasilkan peningkatan ketara jumlah hasil eksport produk minyak sawit sebanyak 47.7 peratus kepada RM95.76 bilion pada 2021 (Januari-November) berbanding RM64.85 bilion pada 2020 (Januari-November).


"Walaupun jumlah ini agak cemerlang, kita tidak boleh untuk terus berpuas hati. Industri minyak sawit masih menghadapi banyak cabaran di peringkat global.


"Bagi mengekalkan daya saing Malaysia di pasaran global, isu-isu seperti tadbir urus alam sekitar dan pengeluaran mampan adalah peringatan jelas tentang cabaran yang perlu ditangani," katanya.


Beliau menambah kerajaan tetap komited dalam melaksanakan strategi dan inisiatif ke arah mengukuhkan industri minyak sawit.


Peruntukan yang dibuat di bawah Belanjawan Malaysia 2022 bertujuan untuk pemulihan ekonomi pasca Covid-19 dan bagi meningkatkan pertumbuhan industri komoditi pertanian.


Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM35 juta untuk melaksanakan Skim Rangsangan Tanam Semula Kelapa Sawit Pekebun Kecil dan RM20 juta bagi menangani kempen anti minyak sawit yang sedang berjalan di peringkat antarabangsa.


Ia juga memperuntukkan sejumlah RM30 juta untuk penyelidikan dan pengkomersialan teknologi mekanisasi pertanian kepada Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP).


Fokus utama MARCOP adalah untuk menangani masalah operasi penuaian tandan buah segar (BTS), yang sekarang ini menggunakan 80 peratus buruh asing. MARCOP akan memberi tumpuan kepada teknologi terkini dalam rangka Revolusi Industri 4.0.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/3HUQl7k
via IFTTT