Gagal bayar hutang Ah Long RM10K, wanita dipukul & dikurung 2 hari


Gagal membayar hutang pinjaman berjumlah RM10,000, seorang wanita dipukul dan dikurung selama dua hari di sebuah hotel bajet di Jalan Malabar oleh Ah Long. 


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa berusia 47 tahun itu dipukul empat lelaki tempatan pada jam 5.30 petang, 3 Januari 2022.


Suspek turut merampas kunci kereta dan dua kad ATM milik mangsa sebelum meninggalkan wanita itu yang mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala, di dalam hotel tersebut. 


Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan susulan serbuan yang dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Central pada jam 10.30 malam, dua hari kemudian. 


Siasatan awal mendapati, mangsa berhutang dengan salah seorang suspek sebanyak RM10,000, tetapi gagal melunaskan bayaran mengikut perjanjian yang ditetapkan. 


Bertindak atas maklumat yang diperolehi dari mangsa, polis berjaya menahan empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu pada jam 2 pagi Jumaat lalu di Jalan Perak, Jelutong. Barangan milik mangsa juga dirampas semula. 


Empat suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah tetapi disyaki terbabit dalam kes khianat dengan api bersangkut laporan pada 16 Mei 2021 di mana saksi mendakwa suspek mencetuskan kebakaran kecil di hadapan sebuah rumah di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong, susulan salah seorang ahli keluarga mangsa membuat pinjaman wang dengan mereka.


Kesemua suspek telah direman selama empat hari dan berakhir hari ini. Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3FeRULA
via IFTTT