'Tak sangka malam itu perbualan terakhir kita di dunia ini' - Lelaki ditemui mati dalam keadaan tangan kaki terikat & perut kembung, dipercayai dibunuh


Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tangan dan kakinya terikat dan dibalut dengan kain, dipercayai dibunuh.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan oleh seorang wanita yang juga isteri kepada mangsa, pada jam 2.30 petang di kediaman mereka di Jalan Cenaga Baru, Kampung Repah, semalam. 


Difahamkan, wanita berkenaan cuba menghantar mesej kepada suaminya sejak semalam tetapi mesej tersebut tidak dibalas selama dua hari. Malah cubaan menghubungi suaminya gagal, kerana panggilan tidak dijawab.


Curiga dengan keadaan itu, dia dan anaknya pergi ke rumah sewa mangsa. Tiba di lokasi, wanita itu kemudian melihat melalui tingkap dan ternampak mangsa dalam keadaan perut kembung, kaki dan tangan terikat serta berbungkus. Terkejut melihat keadaan suaminya, dia terus meminta bantuan jiran untuk menghubungi bomba. 


Siasatan polis mendapati, mangsa ditemui di atas tilam dalam sebuah bilik dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta dibalut dengan kain. 


Menurut keterangan isteri mangsa, kali terakhir mereka berhubung pada 3 petang Selasa lalu. Mesej yang dihantarnya melalui WhatsApp pada Rabu dan semalam bagaimanapun tidak dijawab. 


Mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih dari 24 jam dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tunku Jaafar (HTJ) Seremban untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 


Sementara itu sepupunya, Muhammad Abdullah Affan yang berkongsi mengenai pemergian mangsa di Facebook berkata, arwah merupakan orang yang sangat baik, soft spoken dan sentiasa menasihati dan mengingatkan antara satu sama lain tentang kebaikan dan menjauhi keburukan. 


"Tak sangka malam hari itu, perbualan terakhir kita di dunia ini. Allah sayangkan kau. Kehilangan sepupu juga terasa macam kehilangan adik beradik kerana kami terlalu rapat dari kecil sampai sekarang," tulisnya di Facebook.


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3IJApoR
via IFTTT