'Ini cubaan untuk menghina maruah saya & ianya telah dirancang' - Ebit Lew nafi 11 pertuduhan termasuk kes berkaitan gangguan seksual
Pendakwah bebas, Ebit Lew dihadapkan ke Mahkamah Litar Tenom hari ini yang membabitkan 11 pertuduhan termasuk kes berkaitan gangguan seksual.
Ebit yang berusia 37 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali dalam semua 11 pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, pendakwah berkenaan membuat pengakuan tidak bersalah di atas semua pertuduhan itu.
Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad, dibantu TImbalan Pendakwa Raya (DPP) Azreen Yas Mohamad Ramli. Ebit pula diwakili peguamnya Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Majistret Nur Asyraf Zolhani membenarkan Ebit dibebaskan dengan jaminan RM11,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin. Tarikh penyerahan dokumen ditetapkan pada 20 hingga 23 April dan tarikh perbicaraan secara tentatif pada Jun depan.
Difahamkan, Ebit berada di Sabah untuk melakukan kerja-kerja amal. Ebit tiba di mahkamah pada jam 9 pagi tadi dengan menaiki Toyota Vellfire bersama dengan sekumpulan individu.
Sementara itu dalam laporan Utusan Online, Ebit menyifatkan pertuduhan gangguan seksual terhadapnya adalah pertuduhan yang tidak berasas dan melampau, serta cuba menjatuhkan kredibilitinya.
"Ini adalah cubaan untuk menghina dan merendahkan maruah saya agar berhenti daripada melakukan kerja-kerja amal bagi membantu golongan yang susah.
"Saya yakin dan percaya perkara ini sesuatu yang sudah dirancang oleh sekumpulan individu dan ia bukan dirancang dalam sehari dua.
"Sebenarnya saya baru tahu mengenai pendakwaan ini beberapa hari lepas dan saya agak terkejut. Saya datang ke Sabah bukan rancang untuk ke mahkamah. Saya dalam misi melakukan kerja amal.
"Apabila kita ditentang ketika buat kebaikan maka tidak perlu bersedih kerana ujian yang datang ini sudah menjadi sunat. Walaupun kita berusaha sehabis baik, namun saya bersyukur dengan ujian ini," katanya.
Sumber: Harian Metro, Utusan Online
from The Reporter https://ift.tt/XYwZgqD
via IFTTT