Tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki melakukan aksi wheelie sambil membawa anak perempuannya mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai video tular itu pada jam 3 petang semalam yang menunjukkan lelaki terbabit menunggang motosikal Honda EX5 secara berbahaya.
Turut kelihatan, seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anaknya, duduk di hadapan.
Siasatan awal mendapati, aksi berbahaya itu dilakukan di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas, Skudai. Dua lelaki terbabit dikatakan merakam dan melakukan aksi tersebut hanya semata-mata mahu meraih share dan like di media sosial.
Video itu kemudian dimuat naik di laman Facebook pada jam 7 malam, 15 Februari.
Berdasarkan video tersebut, polis berjaya mengesan suspek yang kemudian ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih dari RM15,000.
Selain itu, polis turut mengeluarkan tiga saman tambahan kepadanya atas kesalahan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/94dDACg
via IFTTT