Polis Johor terima 367 kes lelaki diperdaya 'wanita' untuk berbogel sebelum diugut


Sebanyak 367 aduan yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor yang berkaitan dengan pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel lelaki 'kesunyian' berusia 20 hingga 40-an, sejak awal tahun 2021.


Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 144 kertas siasatan telah dibuka dan kerugian yang dialami mangsa antara RM500,000 hingga RM1 juta. 


Mangsa terdiri daripada lelaki bujang dan berkahwin, diperdaya oleh sindiket melalui media sosial. Modus operandinya, mangsa diperdaya oleh ahli sindiket yang menyamar sebagai wanita di media sosial kononnya mahu mencari kenalan baru. 


Sindiket tersebut menyasarkan lelaki kesunyian. Tanpa mengesyaki apa-apa, ada mangsa yang sanggup berbogel ketika berkomunikasi dan dipaksa melakukan adegan lucah tanpa menyedari perbuatan mereka itu dirakam. 


Akibatnya, mangsa dipaksa menyerahkan sejumlah wang dan jika permintaan itu tidak dituruti, video mereka akan disebarkan ke media sosial. 


Susulan itu, polis melancarkan Operasi Bugil dan setakat ini sudah menahan tujuh individu yang disyaki terbabit, antaranya tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing. 


Suspek berusia 25 hingga 54 tahun ditahan di sekitar Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Sebanyak 25 kes telah berjaya diselesaikan. Polis masih lagi giat mengesan beberapa ahli sindiket yang lain. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/0yBGCia
via IFTTT