'Kami tertekan, sebab itu ramai yang bersara awal' - Guru buta IT dimarah, jika ingkar arahan akan dipinggir pentadbir sekolah



Kurang cekap mengendalikan aplikasi Google Meet dan menyediakan laporan secara online menyebabkan golongan guru seringkali dimarahi pentadbir sekolah sehingga membuatkan mereka mengalami tekanan kerja. 


Guru yang dikenali sebagai Hani, 49, berkata, ramai rakan sekerjanya mengalami tekanan dengan arahan pentadbir sekolah yang selalu meminta mereka segera membiasakan diri dengan penggunaan teknologi digital. 


Sedangkan kebanyakan guru di sekolahnya berusia 40 hingga 50 tahun, tidak begitu cekap menggunakan komputer atau yang seumpama dengannya. 


Selain itu, guru-guru juga diminta mengisi persediaan mengajar secara online, tetapi tidak ramaik yang dapat menyiapkan tugasan itu menyebabkan mereka terpaksa mengupah kerani sekolah atau guru baharu untuk membantu menyiapkan laporan menerusi buku penyediaan mengajar. 


Sementara itu dalam kes lain pula, ramai guru memilih untuk bersara awal kerana bosan dengan karenah birokrasi, terlalu cerewet dan sikap pilih bulu yang diamalkan sebahagian pentadbir sekolah. 


Keadaan itu membuatkan mereka terpaksa menanggung beban dan tekanan dan ramai yang menjadi mangsa keadaan.


Cikgu Manaf (bukan nama sebenar), 40, mendedahkan ada guru yang sentiasa menjadi sasaran pentadbir kerana bukan guru kegemaran atau sebulu dengan mereka. 


Tidak kurang juga ada pihak pentadbir mewujudkan puak sendiri di sekolah dan hanya memilih guru kesukaan mereka berada dalam puak itu. Manakala guru yang bukan sebulu dengan mereka dipinggir, disasar dan diberi tugasan tambahan. 


"Jika ingkar atau melawan, guru terbabit akan diugut oleh pihak pentadbir seperti markah prestasi akan dikurangkan dan dipaksa memegang lebih banyak jawatan di sekolah. 


"Lebih parah lagi, mereka ditukarkan ke sekolah lain yang jauh dari penempatan mereka," katanya.


Sumber: Kosmo! Online



from The Reporter https://ift.tt/PXxd1SF
via IFTTT