'Saya penagih dadah berpengalaman' - Lelaki jemput polis datang ke rumah untuk uji ketulenan dadah, ditahan
Seorang lelaki di Florida yang dipercayai di bawah pengaruh dadah bertindak memanggil polis datang ke rumahnya untuk menguji ketulenan dadah yang baru dibelinya kerana bimbang bahan itu adalah garam mandian.
Bagaimanapun, lelaki itu ditahan selepas polis mendapati bahan tersebut adalah dadah tulen.
Pejabat Syerif Daerah Hernando terdahulu menerima panggilan dari Thomas Ugene Colucci pada jam 7 malam Jumaat lalu yang memberitahu dia baru saja membeli dadah methamphetamine daripada seorang lelaki yang ditemuinya di sebuah bar.
Colucci menjelaskan dia adalah 'pengguna' dadah yang berpengalaman dan tahu bagaimana rasanya bahan terlarang itu. Tetapi dadah yang baru dibelinya itu berasa seperti garam mandian. Colucci terus memberi alamat rumahnya kepada polis untuk datang menguji bahan tersebut.
Apabila pegawai tiba, Colucci mengeluarkan dua beg kecil yang masing-masing mengandungi bahan seperti kristal putih.
Menurut Colucci, dia mahu methaphetamine milik dia diuji kerana tidak mahu orang lain membeli dadah palsu daripada pengedar dadah yang sama.
Setelah diuji, polis mendapati bahan itu adalah dadah tulen dan Colucci terus ditahan atas pertuduhan memiliki dadah.
Sumber: Daily Mail
from The Reporter https://ift.tt/7JC2yAV
via IFTTT