'Semoga suami kau mereput dalam tanah' - Padah mulut laser, jiran bina tembok tinggi tutup laluan rumah warga emas



Sutikah, 55, wanita warga emas di Desa Mejobo, Jawa Tengah, Indonesia, hanya mampu pasrah setelah rumahnya dihadang dengan tembok yang dibina oleh jirannya sendiri, Sunarsih, 63. 


Tembok sepanjang 10 meter dengan ketinggian 2-3 meter itu sengaja dibina sebagai dinding penghadang untuk keluarga Sutikah keluar masuk dari kediamannya.


Ketua Mukim Mejobo, Aan Fitriyanto berkata, tembok itu dibina menggunakan bata ringan secara memanjang menutupi rumah Sutikah. Tembok itu dibina di atas tanah Sunarsih sendiri yang selama berpuluh tahun dan dibiarkan terbuka untuk memudahkan laluan keluar masuk keluarga Sutikah. 


Namun disebabkan hubungan kedua-dua pihak kurang harmoni menyebabkan Sunarsih mengambil keputusan untuk membina tembok tinggi tersebut. Perselisihan faham di antara mereka kian memuncak selepas Sutikah menyumpah suami Sunarsih yang baru sahaja meninggal dunia. 


"Sutikah dan Sunarsih sudah berpuluh tahun berjiran dan selalu bergaduh. Kedua-dua mereka sudah tidak bersuami dan komunikasi di antara nmereka juga kurang baik. Sunarsih berang kerana Sutikah berkata '(Semoga) suami kau mereput dalam tanah'," ujar Aan. 




Pihak berkuasa sudah cuba mendamaikan kedua-dua pihak tetapi Sunarsih tegas enggan merobohkan tembok itu kerana dia sudah hilang kesabaran dengan Sutikah. 


Bagaimanapun, setelah dipujuk Sunarsih bersetuju merobohkan tembok itu selama dua hari untuk memberi peluang kepada Sutikah mengemaskan barang-barangnya keluar dari rumah sebelum jalan itu ditutup semula. Sutikah dikatakan akan menumpang rumah saudaranya di wilayah kudus.


Pihak berkuasa akan terus mencuba menyelesaikan masalah di antara dua warga emas itu dan berharap tembok tersebut dapat dirobohkan buat selama-lamanya. 


"Kami akan terus cuba mendamaikan mereka supaya tembok itu dibuka selamanya. Kasihan nenek Sutikah. Puncanya Nenek Sunarsih sakit hati, harap insiden itu menjadi pengajaran untuk Sutikah berubah sikap," kata Aan. 




Selama ini Sutikah tinggal bersama dua anaknya bersama seorang cucu di rumah tersebut. Namun semasa tembok itu dibina, anak-anak dan cucunya segera berkemas dan keluar dari rumah untuk menumpang di rumah saudara. 


"Saya sedar dan selalu mengalah kerana saya miskin. Cium kaki dia pun saya bersedia," kata Sutikah. 


Sementara itu, Sunarsih mengakui dia kecewa dengan sikap Sutikah yang selalu melemparkan kata-kata yang menyakitkan hati ketika bergaduh. 


"Saya meluat dengan kata-kata dia yang menyakitkan hati. Bahkah suami saya yang sudah meninggal dunia pun dibabitkan. Nak berdamai, terpulanglah kepada anak saya nanti," katanya. 


Sumber: Kompas



from The Reporter https://ift.tt/lQ5sNLY
via IFTTT