'Berdosa jika peguam bela pihak yang salah, bayaran yang diterima juga lebih buruk daripada hasil pelacuran' - Dr Mohd Asri
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mengenai kerjaya peguam yang menurutnya berdosa jika seorang peguam itu membela pihak yang diketahui bersalah dan menerima bayaran daripada pihak yang bersalah itu adalah lebih buruk daripada hasil pelacuran.
"Kerana dosa pelacur antara dia dengan Allah sahaja. Sementara dosa wang guaman yang batil merupakan kezaliman ke atas pihak yang lain," katanya yang menjawab pertanyaan beberapa peguam mengenai kerjaya tersebut yang adakalanya membela atau mempertahankan kes-kes yang mereka tahu berada di pihak yang salah ataupun zalim.
Jelas Mohd Asri, menjadi prinsip Islam untuk menyuruh membela ang benar dan mengharamkan membela yang salah ataupun yang dosa. Kebenaran dan kesalahan diukur dengan pengetahuan seseorang mengenai hakikat sesuatu perkara yang dibela tersebut.
"Jika dia percaya itulah yang benar berdasarkan keilmuannya yang mencukupi pada keyakinannya, maka pembelaan itu menjadi pahala untuknya. Sekalipun kemungkinan pada ijtihad orang lain pendapat itu salah.
"Demikian juga kesalahan atau kebatilan. Jika seseorang itu tahu bahawa perkara yang dibela itu salah atau dia percaya tidak benar, namun dia tetap membela kerana kepentingannya atau ketaksubannya atau sikapnya yang tidak adil, maka dia berdosa," katanya.
Berlandaskan faktor-faktor tersebut, maka seseorang peguam itu wajar membuat penilaian terhadap kes-kes yang diambilnya untuk dibela. Walaupun begitu, peguam perlu diingatkan bahawa, pembelaan perkara batil akan memenangkan pihak yang diwakili tetapi menzalimi pihak yang ditentang. Kezaliman tersebut akan dituntut dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
"Jika ia membabitkan harta atau nyawa atau maruah atau apa sahaja, maka doa pihak yang dizalimi akan memburu orang yang zalim. Kehidupan itu bukan sahaja di mahkamah, tetapi di luar mahkamah ada kehidupan sebenar peguam itu sendiri.
"Demikian kehidupannya di akhirat. Allah tidak lupa kepada orang yang zalim. Maka berhati-hati bagi setiap kes yang diambil dan dibela agar tidak menzalimi pihak yang lain," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di portal Jabatan Mufti Negeri Perlis pada 15 Disember 2019.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menolak kenyataan Asri dan menjelaskan sekiranya menerima bayaran dan yuran guaman itu adalah berdosa, maka tiada orang Islam yang mahu menjadi peguam.
"Peguam tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak. Hanya hakim yang mempunyai kuasa mengenai perkara itu," katanya.
Sumber: Portal Jabatan Mufti Perlis, Free Malaysia Today
from The Reporter https://ift.tt/njTARCF
via IFTTT