Konsert Justin Bieber: 'Bimbang ibu bapa & anak tak sempat bertaubat sebelum mati' - Ustazah Asma' Harun
Susulan teguran dan nasihat Ustazah Asma' Harun terhadap golongan belia bakal menghadiri konsert penyanyi Justin Bieber, ramai anak muda termasuk ibu bapa mereka meluahkan rasa tidak puas hati lalu mengecam pendakwah bebas itu.
Ustazah Asma' bagaimanapun berkata, dia tidak sedih dikecam dan dihina kerana teguran atau nasihat yang dibuatnya adalah untuk menyelamatkan golongan muda dari terus lalai dengan hiburan.
"Ramai yang kecam juga dalam kalangan ibu ayah. Katanya pergi bukan menggunakan duit ustazah pun. Kenapa nak sibuk hal orang dan lain-lain yang lebih pedih.
"Duhai ibu ayah, bukankah kalian yang selama ini berkata sayang pada anak-anak sampai syurga dan berdoa untuk berkumpul di sana? Bukankah kalian yang selalu inginkan anak-anak selamat daripada bahaya dunia, jika mereka sakit kalian tak tidur lena dan sanggup korban apa saja?
"Adakah kalian begitu naif bahawa suasana konsert sebegini akan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan, kadang minuman najis berjaya dicuba, lebih jauh lagi ia boleh menjadi langkah pertama menuju kepada penzinaan.
"Suasana terkinja-kinja dan saling hilang kawalan diri walaupun asalnya si anak ini seorang yang pemalu dan sopan, namun suasana sangatlah mempengaruhi seseorang, pakaian pula tak boleh dibayangkan. Pasti akan disesuaikan dengan konsert supaya tidak dilihat janggal. Bertemulah dengan kawan baru, sekelip mata nombor telefon saling bertukar, merasai nikmat kebebasan atas nama 'sporting' ibu dan ayah," katanya.
Ustazah Asma' menafikan dia menjaga tepi kain orang, tetapi dia hanya mahu membantu menjaga aib golongan berkenaan atas dasar prihatin dan tanggungjawab.
Ada yang menganggap, konsert Justin Bieber itu sekadar hiburan saja dan bukan selalu dianjurkan. Adakalanya remaja perlu diberi kebebasan bagi mengelakkan mereka memberontak. Jika berdosa, mereka boleh bertaubat di kemudian hari.
Tanggapan seperti itu ternyata amat mengecewakan Ustazah Asma' kerana budaya menormalisasikan sengaja melakukan maksiat dan selepas itu bertaubat telah menjadi tipu daya yang sangat berjaya hawa nafsu dan syaitan. Istilah terlambat bila berlaku sesuatu yang mudarat akan cuba dicantikkan juga dengan ayat "Adalah hikmah di sebalik...", walaupun hakikatnya musibah itu dicari sendiri, bukan diberi.
Ustazah Asma' tidak menolak kemungkinan akan ada lagi konsert seumpama itu susulan konsert Justin Bieber yang mendapat begitu banyak sambutan sehingga tiket habis dijual.
"Selepas ini nantikanlah konsert lain pula bakal menyusul atas nama hiburan itu keperluan. Maka suburlah budaya hedonisme. Terbentuk jelaslah generasi hamba hiburan, itulah nanti menjadi sumber pendapatan pihak penganjur yang tamak.
"Ada ibu bapa yang berkata, "Bagi depa rasa dulu apa yang nak, esok dah jemu depa berhentilah". Nauzubillah, bimbang ibu bapa dan anak tidak sempat bertaubat sebelum mati.
"Saya tidak sedih dikecam dan dihina, siapa saya ini untuk dihormati dan dimuliakan. Banyak kekurangan dan dosa sendiri yang lebih menjadikan diri ini hina. Kesedihan adalah apabila melihat sesuatu kemungkaran namun ramai yang berdiam," katanya.
Sumber: Facebook Ustazah Asma' Harun
from The Reporter https://ift.tt/lZKL92g
via IFTTT