Lelaki bunuh 2 perompak yang menyerangnya, didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh



Seorang pemuda nekad berlawan bermati-matian dengan empat lelaki yang mahu merompaknya sehingga dia terpaksa membunuh dua lelaki terbabit. Peliknya, polis menetapkan pemuda itu sebagai suspek dan didakwa atas tuduhan membunuh perompak yang menyerangnya. 


Kejadian itu dilaporkan berlaku di Desa Ganti, Kecamatan Praya Timur, Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 10 Januari 2022. 


Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai 'S', 34, sebelum itu dalam perjalanan ke Lombok Timur untuk menghantar nasi kepada ibunya. Di pertengahan jalan, 'S' didatangi dua perompak lalu tercetus pergelutan di antara mereka. Dua lagi perompak yang lain datang untuk membantu rakan mereka.


Hal itu memaksa 'S' menggunakan senjata tajam untuk berlawan dengan empat perompak terbabit sehingga menyebabkan dua daripadanya mati dan dua lagi perompak lari dari tempat kejadian.


Polis kemudian menetapkan 'S' sebagai suspek dan ditahan atas dakwaan membunuh dua perompak terbabit yang mayat mereka ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di tepi jalan pada jam 1.30 petang. Identiti dua perompak yang maut dikenali sebagai 'P', 30, dan 'OWP', 21, merupakan penduduk Desa Belaka, Kecamatan Praya Timur. 


"Suspek disiasat mengikut Pasal 338 KUHP kerana membunuh dan Pasal 351 KUHPayat (3) kerana melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa seseorang," kata jurucakap polis, Ketut Tamiana dalam sidang media yang diadakan pada Selasa, 13 April 2022. 


Selain menetapkan 'S' sebagai suspek, polis juga menetapkan dua lagi rakan perompak yang masih hidup sebagai suspek kes rompakan. 


Polis masih menjalankan siasatan dan nasib 'S' akan diketahui sama ada mahkamah akan menentukan dia didakwa atas tuduhan membunuh atau cuba mempertahankan diri. 


Sumber: Jawa Pos



from The Reporter https://ift.tt/Y9k3Mb4
via IFTTT